Anda di sini

Ulang tahun Tune Hotel bermakna buat SCCS

Advertisement

KUCHING: Sambutan ulang tahun kelima Tune Hotel Waterfront yang disambut di sini semalam menjadi acara peringatan oleh Pertubuhan Kanak-Kanak Kanser Sarawak (SCCS).

Sambutan yang turut menyaksikan acara amal kempen ‘Go Bald 6.0’ itu berpeluang berkongsi kegembiraan dengan menyalurkan kutipan dana yang dituju khas buat pesakit kanser SCCS.

Pengurus Besar Tune Hotel Kishore Suppiah berkata, sambutan ulang tahun yang diadakan serentak dengan acara kutipan dana bagi warga SCCS dilihat sebagai usaha murni yang dapat disumbangkan Tune Hotel dalam menyokong usaha pertubuhan itu mendekati pesakit-pesakit kanser.

“Hari ini (semalam), pada sambutan ulang tahun kelima Tune Hotel, saya dan 15 kakitangan hotel ini mencukur kepala sebagai tanda sokongan daripada pihak hotel kepada SCCS sekali gus menyokong kempen ‘Go Bald 6.0’ ini,” katanya.

Menurutnya, sebagai usaha berterusan dalam menyampaikan sumbangan kepada pertubuhan itu, RM5 akan dikenakan untuk setiap tempahan secara atas talian bagi menginap di Tune Hotel bermula semalam sehingga 29 Mac ini.

Selain itu, pengurusan Tune Hotel turut menyediakan kotak sumbangan derma di kaunter pendaftaran manakala setiap sumbangan yang diterima kelak akan disalurkan terus kepada SCCS, ujarnya.

Sementara itu, Pengurus SCCS Jodie Sim dalam ucapannya berkata, beliau terharu dan gembira melihat semangat yang ditunjukkan oleh kakitangan Tune Hotel dan warga kota yang menyokong kempen ‘Go Bald 6.0’ anjuran SCCS.

“Setiap kepala yang dicukur dan dibotakkan menjadi kekuatan dan semangat kepada pesakit-pesakit kami. Mencukur rambut merupakan proses sementara sepanjang rawatan ke atas para pesakit, maka jadikan ia sesuatu sokongan yang menyeronokkan,” katanya.

Kempen ‘Go Bald 6.0’ bertujuan mengumpul dana selain untuk memupuk kesedaran warga kota dalam menyokong usaha SCCS untuk membantu pesakit kanser di seluruh negeri ini.

Selain berperanan sebagai pusat kaunseling bagi pesakit kanser, SCCS juga menyediakan sokongan berbentuk kerohanian kepada pesakit dan ahli keluarga sepanjang mereka menjalani rawatan.

Sebarang maklumat lanjut mengenai SCCS dan Kempen ‘Go Bald 6.0’, boleh melayari laman sesawang di alamat www.sccs.my atau layari laman Facebook ‘Go Bald’ di alamat: http://www.facebook.com/GoBald.

Pada majlis itu, Tune Hotel turut menyerahkan cek sumbangan bernilai RM6,300 kepada SCCS.

Hadir sama Penolong Pengurus SCCS Jacqueline Chin, Pengurus Besar Limar Management Services Sdn Bhd Khairul Azizan Alias dan Pengawal Kewangan Kumpulan Limar Management Services Sdn Bhd Teo Seng Hock.

Advertisement