Anda di sini

SJKC Chung Hua ungguli Kejohanan Badminton MSS Bintulu Bawah 12 Tahun

Advertisement

BINTULU: Sekolah Jenis Kebangsaan Cina (SJKC) Chung Hua unggul apabila mendominasi kejuaraan dan kedudukan teratas hampir kesemua kategori yang dipertandingkan pada Kejohanan Badminton Majlis Sukan Sekolah-Sekolah (MSS) Bintulu Bawah 12 Tahun di Dewan Sekolah Kebangsaan (SK) Baru di sini.

Kejohanan itu menyaksikan juara kategori beregu perempuan menjadi milik Nur Ain Syahira dan Esther Lee dari SJKC Chung Hua 2 diikuti naib juara Nur Amirah Japar dan Raden Aina Qaisarah (Sekolah Kebangsaan Agama) dan ketiga Liew Zhao Ting dan Low Wei Tyng (SJKC Chung Hua).

Begitu juga kategori beregu lelaki menyaksikan Lim Sien Chun dan Lim Shian Jian (SJKC Chung Hua Tatau) muncul juara dan Ting Hong Wen dan Jerry Sia (SJKC Chung Hua) menyandang naib juara diikuti kedudukan ketiga disandang oleh Jimmy Liong dan Sia Kye Sheng (SJKC Chung Hua 2).

Kategori perseorangan lelaki pula menyaksikan Yeh Tech Hong dari SJKC Chung Hua muncul juara, manakala Rickson Kong (SJKC CHung Hua Tatau) menyandang naib juara dan tempat ketiga Chiu Yong Jun (SJKC CHung Hua 2).

Johan kategori perseorangan perempuan pula disandang oleh Ivy Law (SJKC Chung Hua 2), naib juara Nur Syafiqah (SK Agama) dan ketiga Wong Shu Yee (SJK Chung Hua).

Kejohanan anjuran SK Orang Kaya Mohammad dengan kerjasama Pejabat Pendidikan Daerah Bintulu itu disertai oleh lapan buah sekolah rendah terdiri daripada SJKC Chung Hua, SJKC Chung Hua 2, SK Kampung Baru, SK Agama, SK Asyakirin, SJKC Chung Hua Tatau, SK St Anthony dan SK Sebauh.

Hadiah kepada pemenang dan majlis penutupan kejohanan telah disempurnakan oleh Ketua Unit Pembangunan Kemanusiaan PPD Bintulu, Awangku Ali Udin Awang Adenani.

Turut hadir Guru Besar SK Orang Kaya Mohammad, Mordiana Amir dan Penolong Kanan Hal Ehwal Murid (HEM) SK Kampung Baru, Khairul Basir Mohammed.

Semua pemenang akan mewakili Bintulu untuk kejohanan peringkat negeri yang akan berlangsung di Kota Samarahan pada April akan datang.

Advertisement