Anda di sini

PNK Miri bercadang tambah lebih banyak projek ekonomi

Advertisement

MIRI: Persatuan Nelayan Kawasan (PNK) Miri bercadang menambah lebih banyak projek ekonomi yang dapat membantu meningkatkan pendapatan nelayan di sini.

Pengerusinya Kaunselor Jamali Basri berkata antara projek yang dicadang termasuk projek penjualan air flake, pembukaan stesen minyak dan pemasaran ikan serta hasil perikanan.

Pada masa sama katanya, PNK juga bercadang membina sebuah bangunan dua tingkat di tanah PNK Miri di Kampung Piasau Utara.

“Semua projek ini secara objektifnya untuk memperluaskan lagi pendapatan nelayan dan persatuan selain membantu ahli-ahli meraih pendapatan secara berterusan,” katanya pada Majlis Perasmian Mesyuarat Agung Tahunan Persatuan Nelayan Kawasan Miri Ke-35 kelmarin.

Jamali berkata pada tahun lalu, pihaknya telah mendapat keuntungan selepas cukai iaitu RM535,562 iaitu peningkatan sebanyak lapan peratus daripada tahun sebelumnya.

PNK juga katanya telah dapat membayar dividen kepada ahli sebanyak 15 peratus  pada 2012 dan untuk 2013 pihaknya mempertimbangkan bayaran dividen kepada ahli sebanyak 20 peratus.

“Keuntungan ini diperolehi daripada projek ekonomi yang dijalankan seperti projek pembekalan ikan ke Hospital Miri dan Marudi dan projek perniagaan minyak diesel subsidi.

Selain itu, PNK juga menjalankan projek perniagaan minyak pelincir, pembekalan peralatan perikanan kepada peserta di bawah Program 1AZAM serta pembekalan bahan-bahan binaan,” katanya.

Jamali menambah, kutipan juga adalah hasil daripada kutipan sewaan bangunan yang disewakan kepada pihak swasta.

“PNK juga telah memulakan projek Otoshimi atau isi ikan yang fokusnya kepada pembuatan keropok, bebola ikan, kek ikan dan lain-lain dan yang paling laris ialah Otoshimi ikan parang.

“Perancangan kami pada tahun akan datang adalah untuk mengeluarkan keropok segera bagi menambah pengeluaran produk hasil perikanan,” katanya.

Beliau juga menasihati nelayan yang mendapat bantuan kerajaan supaya menggunakan kemudahan dengan sebaiknya.

Advertisement