Anda di sini

Penduduk bantah projek pembinaan dua kondominium

Advertisement

GEORGE TOWN: Sekumpulan 100 penduduk Bayan Lepas dekat sini menyuarakan kebimbangan berhubung cadangan membina dua kondominium berdekatan kediaman mereka yang didakwa mendatangkan masalah serius kepada penghuni pangsapuri berdekatan.

Projek yang dicadangkan itu akan mempunyai dua blok bangunan setinggi 26 dan 23 tingkat dan akan dibina berhampiran pangsapuri Gold Coast dan Taman Perumahan Bay Star dan Bay Garden.

Wakil penduduk Bay Garden Carolyn Wong berkata kerajaan negeri Pulau Pinang tidak seharusnya membiarkan projek sedemikian dibina di kawasan itu kerana ia melibatkan kerja-kerja menambak pantai yang boleh merosakkan persisiran pantai di Bayan Lepas.

“Kami tidak menolak pembangunan tetapi setiap pembangunan haruslah mempunyai perancangan yang holistik supaya tidak mendatangkan sebarang ancaman atau gangguan kepada penduduk setempat.

“Saya difahamkan projek mengandungi 1,900 unit pejabat kecil/rumah dan ketinggian dua blok kondominium itu akan menghalang cahaya dan pemandangan kawasan perumahan di sini,” katanya kepada pemberita di sini semalam.

Katanya, setiap pembangunan harus mendatangkan kebaikan kepada penduduk dan beliau berharap kerajaan negeri dapat mengadakan perbincangan dengan penduduk di sini sebelum membenarkan projek itu dilsaksanakan pemaju yang berpangkalan di negeri ini.

Wong berkata penduduk pernah berdialog dengan Timbalan Ketua Menteri 1 Pulau Pinang Datuk Mohd Rashid Hasnon yang juga ahli Dewan Undangan Negeri Pantai Jerejak, namun sehingga hari ini masih belum ada sebarang tindakan.

“Ketika sesi dialog bersama Mohd Rashid, kami diberitahu bahawa projek itu telah sampai ke tahap memohon kebenaran untuk menjalankan kerja-kerja pembinaan,” katanya.

Beliau berkata campur tangan pihak kerajaan negeri amat diperlukan untuk menyelamatkan persisiran pantai dan kehijauan taman bunga di kawasan berkenaan.

Bagaimanapun, usaha mendapatkan komen Mohd Rashid gagal apabila beliau tidak dapat dihubungi. — Bernama

Advertisement