Anda di sini

Jenayah libatkan pelajar di Melaka meningkat: Polis

Advertisement

Usaha membanteras termasuk melalui kelab di sekolah

ALOR GAJAH: Ketua Polis Melaka Datuk Chua Ghee Lye berkata jenayah melibatkan pelajar sekolah di Melaka meningkat tahun lepas berbanding 2012 dan usaha membanterasnya sedang giat dilakukan.

Beliau berkata khidmat Kor Kadet Polis dan anggota Kelab Pencegahan Jenayah di sekolah di negeri ini digunakan bagi memberi nasihat dan ceramah kepada pelajar sekolah mengenai bahaya kegiatan jenayah.

“Pasukan ini berfungsi menerapkan nilai-nilai kepolisan dalam diri pelajar agar tidak terjebak dengan gejala jenayah mahupun aktiviti yang tidak bermoral,” katanya kepada pemberita selepas menyampaikan hadiah sempena Pertandingan Rentas Halangan dan Ronda Pandu Arah Kor Kadet Polis di Pusat Latihan Khidmat Negara, Simpang Ampat di sini.

Sebanyak 103 kes jenayah dilaporkan melibatkan pelajar sekolah tahun lepas berbanding 63 kes pada 2012, Polis Melaka serius menjalankan peranan membanterasnya, katanya.

Chua berkata pihak polis turut mewujudkan papan kenyataan cegah jenayah di setiap sekolah yang berfungsi sebagai tempat penyaluran maklumat mengenai kes jenayah terbaharu dan penerangan mengenai pelbagai usaha pencegahan jenayah.

Sementara itu, Chua berkata Kor Kadet Polis bukan sekadar aktiviti  kokurikulum sekolah, malah penubuhannya turut mempunyai signifikan kepada polis.

Beliau berkata pada awal penubuhan pasukan itu pada tahun 1970, hanya terdapat 56 platun kor kadet namun kini jumlah anggotanya mencecah 120,000 orang.

Terdahulu, beliau menyampaikan hadiah kepada MRSM Terendak yang memenangi pertandingan Rentas Halangan kategori wanita dan Sekolah Berasrama Penuh Integrasi Selandar, Jasin bagi kategori lelaki.

Beliau turut menyampaikan hadiah kepada MRSM Alor Gajah yang memenangi Pertandingan Ronda Pandu Arah Platun lelaki dan Sekolah Menengah Agama Al-Ehya Karim, Alor Gajah bagi platun wanita.

Sebanyak 984 pelajar dari 65 sekolah di seluruh Melaka menyertai pertandingan berkenaan. — Bernama

Advertisement