Anda di sini

Berdisiplin ketika makan untuk kekal sihat: Dr Rahman

Advertisement

KUCHING: Peningkatan bilangan pesakit yang menghidap darah tinggi dan kencing manis sejak akhir-akhir ini menuntut komitmen jitu setiap lapisan masyarakat untuk meningkatkan disiplin makan.

Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Pantai Damai Dr Abdul Rahman Junaidi berkata, masyarakat tidak kira tua atau muda perlu kurang mengambil makanan berlemak, berlebihan gula dan garam.

Menurutnya, ini kerana kebanjiran makanan di pasaran terutama makanan segera boleh menyebabkan pelbagai komplikasi penyakit.

“Sekarang kita boleh lihat bilangan pesakit yang menghidap darah tinggi dan kencing manis meningkat dengan mendadak.

“Malah bilangan golongan muda yang terlibat dengan dua penyakit ini semakin meningkat kerana tidak berdisiplin ketika makan,” katanya ketika berucap merasmikan Program Pemeriksaan Kesihatan DUN Pantai Damai di Kampung Panglima Seman kelmarin.

Program tersebut dianjurkan Pergerakan Wanita Parti Pesaka Bumiputera Bersatu (PBB) Cawangan Pantai Damai dengan kerjasama Klinik Kesihatan Ibu dan Anak (KKIA) Bintawa.

Selain meningkatkan disiplin ketika menikmati juadah makanan, Dr Abdul Rahman menambah, masyarakat juga perlu lebih kerap melakukan aktiviti senaman dan sentiasa melibatkan diri dengan aktiviti fizikal yang berfaedah.

Mengenai Program Pemeriksaan Kesihatan DUN Pantai Damai, beliau berkata, program itu amat penting untuk memberi peluang kepada lebih ramai penduduk kampung melakukan pemeriksaan kesihatan.

“Saya berharap program seperti ini dapat diperluaskan ke semua kampung dalam DUN Pantai Damai,” ujarnya.

Antara aktiviti yang diadakan sepanjang program tersebut merangkumi saringan kesihatan, pemeriksaan gigi, pemeriksaan mata, pemeriksaan pap smear dan payudara, derma darah, ceramah kesihatan dan pemakanan seimbang.

Selain itu, lawatan ‘house call’ ke beberapa rumah warga emas dan orang kurang upaya juga diadakan.

Advertisement