MIRI: Masyarakat Islam di sini diingatkan agar tidak mudah terpedaya dengan kisah mengubah nasib dalam risalah berunsur skim cepat kaya yang diedarkan secara meluas sekarang.
Risalah dipercayai diedarkan oleh sebuah tokong yang menawarkan khidmat seorang ‘Tok Guru’ yang kononnya berupaya membantu mereka yang berdepan masalah kewangan.
Risalah menceritakan tentang pengalaman seorang individu dikenali ‘Azlan Khalid’ yang sanggup melakukan upacara sembahyang untuk memperbaiki nasib hidupnya.
‘Tok Guru’ tersebut dikatakan memberitahu ‘Azlan Khalid’ empat angka dan nombor berkenaan didakwa memenangi tempat pertama tiket nombor ramalan.
Risalah berkenaan dipercayai menggunakan nama-nama Bumiputera sebagai taktik memperluaskan jumlah peserta skim mereka.
Mengulas tentang perkara ini, Ahli Parlimen Sibuti Ahmad Lai Bujang menasihatkan masyarakat Islam khasnya golongan belia agar berwaspada dengan agenda-agenda tersembunyi yang boleh merosakkan akidah mereka.
“Mereka seperti menawarkan khidmat menilik nasib daripada seorang ahli nujum untuk mencari keuntungan. Perkara seperti ini harus kita hindari,” tegas beliau yang juga pertama kali melihat dan membaca risalah itu.
Risalah kertas berbahasa Melayu itu diedar dengan diletakkan ke dalam peti surat kediaman dan di cermin kereta. Ia diedarkan secara meluas di kawasan-kawasan perumahan baharu di utara Miri serta pusat bandar raya.
Mengulas lanjut, Ahmad Lai menasihatkan penduduk agar tidak memberikan butir-butir peribadi mereka kepada pihak yang tidak dikenali kerana khuatir akan disalahgunakan untuk niat buruk pihak berkenaan.
Risalah turut meminta penduduk untuk mengemukakan nama, umur, tarikh lahir dan alamat menerusi sistem pesanan ringkas (SMS) kepada ‘Tok Guru’ berkenaan untuk meminta petunjuk mengatasi masalah mereka.
“Janganlah kita sesuka hati memberi butir-butir peribadi kita kepada orang lain. Kita tidak mahu nama kita digunakan untuk tujuan yang tidak baik,” tegasnya.