Anda di sini

Saingan Kumpulan I Liga Sibu belum pasti bila akan bermula

Advertisement

SIBU: Saingan Kumpulan I Liga Sibu 2014 masih belum pasti bila akan bermula memandangkan Persatuan Bola Sepak Bahagian Sibu (SFA) masih belum mendapat lampu hijau bagi menggunakan padang di Stadium Tun Zaidi.

Setiausaha SFA Abdul Hajis Abdullah berkata, pihaknya telah menulis surat kepada pihak pengurusan stadium bagi menggunakan padang terbabit bagi semua perlawanan membabitkan Kumpulan I liga kali ini.

“Namun sehingga kini kita masih belum mendapat sebarang jawapan daripada pihak yang berkenaan,” ujarnya ketika dihubungi baru-baru ini.

Sebelum ini, SFA menghadapi ‘sedikit’ masalah bagi menggunakan padang di Stadium Tun Zaidi bagi penganjuran Liga Sibu dan pertandingan bola sepak yang lain, sekali gus memaksa semua perlawanan diadakan di Padang Penjara.

Bagaimanapun, Padang Penjara ini tidak mencapai standard sebenar, selain tidak mempunyai kemudahan yang lengkap bagi kegunaan pemain dan penonton.

Menurut Abdul Hajis, beliau yakin aksi Kumpulan I dapat berlangsung di Stadium Tun Zaidi sebaik padang tersebut tidak digunakan bagi sebarang aktiviti.

“Sebaik padang ini tidak digunakan, baharulah saingan dalam Kumpulan I akan bermula,” katanya sambil memberitahu saingan kemungkinan bermula awal bulan April ini.

Kumpulan I Liga Sibu 2014 menyaksikan lapan pasukan akan berentap merebut takhta liga. Pasukan ini ialah Exodust FC, V8 FC, Busna Nazario FC, Rimba Hijau FC, Singgah Selalu FC, Miskal FC, TZ FC and Rascom FC.

Sementara Kumpulan II terdiri daripada 13 pasukan iaitu Red Heckle FC, DD FC, TFC, BN Selangau, Bakra FC, Indah FC, Sinar Suria FC, Mikas FC, Saforex FC, Pemaja FC, Busana Kanowit FC, Medical Sport Club dan SMK Lanang.

Aksi Kumpulan II, menurut Abdul Hajis, dijadual bermula 29 Mac ini, jam 3.30 petang di Padang Penjara. Perlawanan seterusnya akan berlangsung setiap Sabtu dan Ahad.

“Sambutan Liga Sibu kali ini amat baik dan diharap peminat bola sepak tempatan dapat memberikan sokongan bagi merancakkan lagi saingan kali ini,” ujarnya.

Sambil menyifatkan semua itu suatu perkembangan yang baik untuk bola sepak di bahagian Sibu, beliau berkata ia juga memudahkan SFA untuk memilih pemain bagi mewakili bahagian ini pada kancah Piala Sarawak.

Advertisement