Anda di sini

PKR Sarawak sambut baik pengumuman Muhyiddin

Advertisement

KUCHING: Parti Keadilan Rakyat (PKR) Sarawak menyambut baik peruntukan yang diumumkan Timbalan Perdana Menteri Tan Sri Muhyiddin Yassin untuk membina SMK Balingian dan SK Kampung Tellian.

Pengerusinya Baru Bian berkata, pengumuman untuk membina sekolah baharu itu diharap tidak hanya terhad untuk Balingian semasa tempoh Pilihan Raya Kecil sahaja, sebaliknya diperluaskan ke seluruh negeri.

“Adalah menarik mereka (Barisan Nasional, BN) membuat janji seperti ini kerana apa yang kita tahu bajet (RM1 bilion) telah diumumkan sebelum ini untuk menaik taraf sekolah rendah dan menengah di Sarawak dan Sabah.

“Bagaimanapun, kita menyambut baik pengumuman ini. Ini menunjukkan Balingian sebelum ini diabaikan dari aspek pembangunan,” katanya kepada pemberita di sini, semalam.

Muhyiddin yang juga Menteri Pendidikan membuat pengumuman peruntukan berjumlah RM79 juta untuk dua sekolah pada dua majlis berasingan di Balingian, kelmarin.

Peruntukan berjumlah RM60 juta diluluskan untuk pembinaan sekolah menengah yang mempunyai 24 bilik darjah dan boleh memuatkan 800 pelajar di daerah kecil Balingian bagi mengurangkan beban ibu bapa yang menghantar anak mereka ke Mukah sejauh 60km.

Manakala peruntukan berjumlah RM19 juta diluluskan untuk membina SK Kpg Tellian yang merangkumi 12 bilik darjah dan kemudahan lain.

Baru yang juga Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Ba Kelalan juga berkata, pengumuman projek itu menunjukkan Barisan Nasional terdesak untuk menambat hati pengundi di Balingian.

Sementara itu, Naib Ketua Wanita PKR Pusat, Voon Shiak Ni berkata, banyak janji pilihan raya Barisan Nasional tidak ditunaikan termasuk klinik kesihatan di Siburan yang dijanjikan pada pilihan raya negeri 2011.

“Mesej saya kepada pengundi di Balingian ialah jangan undi Barisan Nasional. Mereka akan menerima nasib seperti 2011,” ujarnya.

Pilihan Raya Kecil (PRK) Dewan Undangan Negeri (DUN) Balingian diadakan selepas peletakan jawatan Pehin Sri Abdul Taib Mahmud sebagai Ketua Menteri untuk dilantik sebagai Yang di-Pertua Negeri.

Hari pengundian akan berlangsung pada 29 Mac yang menyaksikan pertembungan satu lawan satu antara calon Barisan Nasional Yussibnosh Balo dan PKR Abdul Jalil Bujang.

Advertisement