Anda di sini

Naik taraf loji air Bayai siap 80%

Advertisement

TURUN PADANG: Harden (lapan kiri) dan Cassidy (sembilan kiri) serta ketua-ketua masyarakat Sri Aman melawat projek naik taraf Loji Perawatan Air Bayai, Sri Aman semalam.

SRI AMAN: Menteri Muda Pembangunan Luar Bandar dan Perumahan Datuk Francis Harden Hollis memberitahu projek naik taraf Loji Perawatan Air Bayai di sini kini sudah mencapai 80 peratus siap. 

Menurutnya, baki 20 peratus lagi melibatkan kerja-kerja pendawaian elektrik dan mekanikal dan dijangka siap sepenuhnya pada Jun depan.

“Apabila sudah siap kelak, Loji Perawatan Air Bayai bernilai RM43 juta ini akan dapat memproses air bersih pada kapasiti 33 juta liter sehari (MLD) berbanding kapasiti sedia ada iaitu 13 MLD.

“Ia secara tidak langsung akan dapat menampung penggunaan seramai 60,000 pelanggan selain memenuhi permintaan tambahan daripada penduduk Sri Aman pada masa akan datang,” katanya.

Beliau selaku Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Simanggang berkata demikian ketika ditemui pemberita pada Program Lawatan Ke Loji Perawatan Air Bayai Bersama Ketua Kaum di situ, semalam.

Sementara itu, kata Harden, kerajaan Barisan Nasional (BN) meluluskan peruntukan sebanyak RM2 juta untuk menukar paip AC lama kepada paip HDPE yang lebih berkualiti di Sri Aman.

“Projek menukar paip AC kepada HDPE bagi peringkat Fasa I ini akan tertumpu di kawasan Jalan Resak, Taman Bayu, Jalan RTM Lama dan beberapa kawasan lain di kawasan bandar Sri Aman,” jelas beliau.

Buat masa ini, katanya, pihaknya sedang menunggu proses tender yang memakan masa selama dua bulan.

Setelah tender diberi kepada syarikat terpilih, maka baharulah projek menukar paip terbabit akan dilaksanakan, tambah beliau.

Turut hadir pada lawatan itu ialah Jurutera Bahagian JKR Sri Aman Cassidy Morris dan Timbalannya Noor Ismail Razali, Timbalan Pengerusi Majlis Daerah Sri Aman Kaunselor Sawing Sumar, kakitangan JKR Sri Aman dan ketua kaum.

Advertisement