Anda di sini

Mawan sokong padu inisiatif SDGA

Advertisement

KUNJUNGAN: Mawan (kanan) berbincang sesuatu dengan Dr Jusit (dua kanan), Dr. Elli, Carolina serta yang lain ketika kunjungan ke pejabatnya di Kuching semalam. — Gambar Chimon Upon

KUCHING: Menteri Pembangunan Sosial Tan Sri William Mawan Ikom menyokong penuh inisiatif Persatuan Graduan Dayak Sarawak (SDGA) menganjurkan Persidangan Keusahawanan Wanita 2014 dengan kerjasama Universiti Teknologi Swinburne.

Menyifatkan program tersebut sebagai satu usaha yang bijak oleh SDGA, Mawan yang juga Menteri Kanan yakin ia mampu mengembangkan lagi pengetahuan dan jaringan kerjasama antara peserta-peserta terlibat.

“Saya melihat inisiatif penganjuran persidangan ini menerusi platform SDGA amat bertepatan kerana ia mampu menarik pembabitan ramai pihak untuk berkongsi ilmu pengetahuan serta bertukar idea-idea yang bernas.

“Bagi pihak kementerian, saya sentiasa menyokong program seumpama ini dengan harapan ia berupaya merangsang kemajuan dan pembangunan yang lebih berkesan dalam kalangan rakyat,” katanya.

Beliau berkata demikian selepas menerima kunjungan daripada SDGA yang diwakili oleh Presidennya Dr Jusit Jaul dan Naib Presidennya Dr Ellli Luhat serta pengerusi penganjur persidangan Carolina Casandra Giam.

Mengulas lanjut mengenai persidangan tersebut, ia akan dilangsungkan selama dua hari pada hari ini dan Ahad bertempat di Universiti Teknologi Swinburne.

Seramai 250 orang peserta dijangka menghadiri persidangan tersebut terdiri daripada agensi dan jabatan kerajaan, organisasi bukan kerajaan (NGO), usahawan-usahawan bandar dan luar bandar termasuk golongan pelajar.

Persidangan tersebut dijangka dirasmikan oleh Senator Datuk Doris Sophia Brodie, manakala penutupan rasmi akan disempurnakan oleh Menteri Pembangunan Wanita, Keluarga dan Masyarakat Datuk Seri Rohani Abdul Karim.

Pada kunjungan semalam, Mawan turut menyampaikan geran bagi membiayai persidangan tersebut kepada Dr Jusit bagi pihak SDGA selain turut menyampaikan geran bernilai RM10,000 kepada jawatankuasa Gereja St Michael, Sudoh, Singai diwakili Michael Siten.

Dalam pada itu, Dr Jusit bagi pihak SDGA turut memaklumkan bahawa persatuan akan mengadakan jamuan malam penghargaan hari ini bertempat di Hotel Riverside Majestic.

Jamuan tersebut akan dihadiri oleh Menteri Kanan merangkap Menteri Kemajuan Tanah Tan Sri Datuk Amar James Masing.

Advertisement