Anda di sini

KPN: Bantuan badan perisikan luar negara dialu-alukan

Advertisement

KUALA LUMPUR: Ketua Polis Negara Tan Sri Khalid Abu Bakar mengalu-alukan bantuan daripada mana-mana badan perisikan dan badan siasatan dalam mencari pesawat Malaysia Airlines (MAS) MH370 yang hilang sejak 8 Mac lepas.

Beliau berkata Polis Diraja Malaysia tidak pernah menganggap penglibatan mana-mana pihak dalam usaha mencari pesawat itu termasuk Biro Penyiasatan Persekutuan (FBI) Amerika Syarikat (AS) sebagai campur tangan, malah menghargainya.

“Saya tidak pernah menganggap ia sebagai satu campur tangan kerana insiden MH370 merupakan satu krisis yang melibatkan 239 nyawa.

“Maka, kita memerlukan pelbagai bantuan termasuk bantuan nasihat, peralatan serta kepakaran,” katanya kepada pemberita di Ibu Pejabat Polis Diraja Malaysia, Bukit Aman di sini, semalam.

Beliau berkata demikian mengenai penglibatan FBI dalam misi pencarian pesawat MH370 yang hilang ketika dalam perjalanan ke Beijing, China dari Kuala Lumpur.

FBI telah menghantar satu pasukan terdiri daripada ejen dan pakar teknikal bagi membantu siasatan kehilangan pesawat MH370.

Pesawat Malaysia Airlines itu yang membawa 227 penumpang dan 12 anak kapal hilang pada 8 Mac semasa dalam penerbangan dari Kuala Lumpur ke Beijing, kira-kira sejam setelah berlepas dari Lapangan Terbang Antarabangsa Kuala Lumpur pada jam 12.41 pagi. — Bernama

Advertisement