Anda di sini

Kontraktor mengaku tidak salah tipu pengarah syarikat

Advertisement

KUALA LUMPUR: Seorang kontraktor mengaku tidak bersalah di Mahkamah Sesyen di sini semalams terhadap pertuduhan menipu pengarah syarikat pemaju hartanah membabitkan wang berjumlah S$250,000 (RM601,750), enam tahun lepas.

Soo Chee Sern, 50, didakwa menipu Lim Yin Chow, 51, pengarah syarikat HSB Development Sdn Bhd, supaya menyerahkan wang milik syarikat itu berjumlah S$250,000 (RM601,750), dan dimasukkan ke dalam akaunnya.

Dia didakwa melakukan kesalahan itu di HSB Development Sdn Bhd, PNB Darby Park, Jalan Binjai di sini antara jam 12.01 tengah malam 1 Nov 2008 hingga 11.59 malam 20 Jan 2009.

Dia didakwa mengikut Seksyen 420 Kanun Keseksaan yang membawa hukuman penjara maksimum 10 tahun dan dengan sebat serta boleh dikenakan denda, jika sabit kesalahan.

Timbalan Pendakwa Raya Rozana Husin menawarkan jaminan RM300,000 dengan seorang penjamin namun peguam Datuk Tan Hock Chuan memohon jaminan dikurangkan kepada RM50,000 kerana anak guamnya menetap, bekerja dan mempunyai keluarga di Singapura.

Hakim Murtazadi Amran membenarkan tertuduh diikat jamin RM100,000 dengan seorang penjamin dan menetapkan 28 April untuk sebutan.

Soo membayar wang jaminan itu.

Sementara itu di mahkamah sama seorang bekas pengurus kanan syarikat Tanjung Management Service Sdn Bhd mengaku tidak bersalah atas pertuduhan melakukan pecah amanah wang syarikat itu berjumlah RM223,148.67.

M.Uma Maniam ,50, didakwa melakukan kesalahan itu di syarikat berkenaan, Tingkat 32, Menara  Maxis KLCC, di sini pada 15 Julai 2011 mengikut Seksyen 409 Kanun Keseksaan yang membawa hukuman penjara maksimum 20 tahun dandengan sebat dan boleh juga dikenakan denda, jika sabit kesalahan.

Hakim Murtazadi membenarkan tertuduh diikat jamin RM50,000 dengan seorang penjamin dan menetapkan 21 April depan untuk sebutan.

Pendakwaan dikendalikan Timbalan Pendakwa Raya Siti Aisyah Ahmad manakala tertuduh diwakili peguam Amer Hamzah Arshad. — Bernama

Advertisement