Anda di sini

Kehadiran polis di ceramah prosedur biasa, kata KPD Mukah

Advertisement

MUKAH: Kehadiran anggota polis di kawasan ceramah dan kempen adalah prosedur biasa sewaktu pilihan raya bertujuan memantau keselamatan, kata Ketua Polis Daerah Mukah DSP Omar Bakhtiar semalam.

Sehubungan itu, katanya, isu kehadiran polis kononnya me­nakutkan orang ramai daripada menghadiri ceramah yang di­anjurkan oleh mana-mana parti politik termasuk pembangkang, adalah tidak benar dan tidak patut timbul.

“Kita tidak pilih kasih baik Barisan Nasional (BN) dan PKR, kedua-duanya kita ada memantau sepanjang tempoh kempen.

“Tujuan utama kita ialah untuk memastikan kawalan keselamatan terkawal dan ini tiada kaitan hendak mengganggu kempen mana-mana parti politik bertanding dalam PRK Baling­ian,” katanya kepada Bernama di sini.

Beliau turut menafikan polis menghantar Pasukan Simpanan Persekutuan (FRU) di setiap ceramah anjuran pembangkang.

Lazimnya yang bertugas se­masa kempen pilihan raya yang membabitkan kehadiran kecil orang ramai ialah ‘Light Force Strike,’ katanya sambil menam­bah setakat ini kempen Pilihan Raya Kecil (PRK) Dewan Un­dangan Negeri (DUN) Balingian bebas insiden.

Sehingga kelmarin, sebanyak 26 permit ceramah dikeluarkan iaitu tiga untuk PKR dan 23 untuk BN, katanya.

Isu kehadiran anggota polis dibangkitkan oleh pembangkang dalam ceramah pertama mereka awal minggu ini yang turut di­hadiri Timbalan Presiden PAS Mohamad Sabu.

Dakwa mereka, kehadiran polis yang ramai menyebab­kan masyarakat takut datang ke ceramah yang dianjurkan. — Bernama

 

Advertisement