Anda di sini

JKKP Sarawak masih siasat insiden letupan di Serian

Advertisement

KUCHING: Jabatan Keselamatan dan Kesihatan Pekerjaan (JKKP) Sarawak masih menjalankan siasatan terhadap insiden letupan yang mengakibatkan tiga kilang runtuh dan lima bangunan lagi rosak di Serian pada 14 Mac lepas.

Timbalan Pengarah JKKP Sarawak (Khidmat Teknik) Aguse Adi berkata, siasatan dijalankan dengan rapi kerana banyak perkara perlu diberi perhatian sebelum hasilnya boleh didedahkan.

“Buat masa ini kita masih menjalankan siasatan. Jadi, saya tidak dapat mengulas lanjut mengenai perkara ini,” katanya pada sidang media di sini, semalam.

Beliau berkata demikian ketika diminta mengulas sama ada insiden itu berpunca daripada kegagalan mematuhi peraturan keselamatan atau disebabkan aspek teknikal lain.

Insiden yang berlaku pada sebelah petang itu mengakibatkan tiga kilang di Jalan Industri runtuh sebelum terbakar, manakala lima bangunan lagi rosak teruk.

Menurut Aguse lagi, tahap keselamatan di kilang dan bangunan yang terdapat di negeri ini masih banyak yang perlu dipertingkatkan termasuk pemasangan papan tanda keselamatan.

“Kita boleh lihat masih banyak majikan kurang mengambil berat terhadap perkara ini dan ia mungkin boleh menyebabkan berlaku kemalangan yang tidak disangka.

“Untuk kesalahan pertama kita hanya boleh mengeluarkan notis kepada majikan manakala tindakan mahkamah yang boleh dikenakan apabila berlaku kesalahan berulang,” ujarnya.

Beliau berkata, selepas pelbagai kempen dan promosi dijalankan sejak kebelakangan ini, bilangan kilang dan bangunan yang mematuhi tahap keselamatan semakin meningkat.

Advertisement