Anda di sini

Gadis dikurung dua minggu diselamatkan

Advertisement

KUCHING: Seorang gadis yang mendakwa dikurung selama dua minggu selepas keluar dari rumahnya berjaya ditemui semula dan dihantar ke Hospital Umum Sarawak (HUS) untuk pemeriksaan kesihatan semalam.

Menurut sumber, mangsa yang baharu berusia 16 tahun pada mulanya dipercayai keluar bersama dengan rakannya dan tidak pulang ke rumah keluarganya di Padawan selepas itu.

Keluarga mangsa yang risau akan keselamatan mangsa kemudian terus melaporkan perkara tersebut di balai polis berhampiran selain turut berusaha mencari mangsa.

Hasil usaha berterusan keluarga mangsa, dia berjaya ditemui petang kelmarin dalam keadaan kurang bermaya di kawasan Tebingan Kuching selepas dilaporkan hilang sejak dua minggu lepas.

Seorang daripada ahli keluarga mangsa semasa ditemui memberitahu, mangsa mendakwa dia telah dikurung oleh seseorang yang baharu dikenalinya di sebuah rumah di kawasan pusat bandar raya.

Risau akan kesihatan mangsa, keluarganya kemudian menghantarnya ke HUS untuk pemeriksaan kesihatan.

Laporan polis berhubung kejadian juga telah dibuat oleh keluarga mangsa dan siasatan polis masih dijalankan.

Advertisement