Anda di sini

Ambil iktibar daripada SPDP: Yong

Advertisement

KUCHING: Parti Rakyat Bersatu Sarawak (SUPP) perlu mengambil iktibar daripada Parti Demokratik Progresif Sarawak (SPDP) yang berjaya mencapai kesatuan dan perpaduan di kalangan ahlinya.

Perkara itu disuarakan oleh bekas Naib Presiden SUPP Datuk Yong Khoon Seng yang berharap SUPP dapat kekal dan diperkuatkan.

Sehubungan itu, katanya, sikap berpuak dalam parti harus dihapuskan supaya proses perdamaian dapat dicapai sekali gus mengukuhkan SUPP.

“Saya masih berharap mereka (Presiden SUPP Tan Sri Peter Chin dan Ketua SUPP Cawangan Sibu Dato Sri Wong Soon Koh) dan yang lain mengambil langkah yang sama seperti SPDP demi kebaikan parti.

“Masih belum terlambat untuk mereka melakukan perubahan bagi mencapai satu perdamaian dalam parti kerana hanya itulah jalan penyelesaian yang perlu mereka lakukan,” kata bekas Timbalan Menteri Kerja Raya itu.

Yong berkata demikian kepada pemberita ketika ditemui selepas perasmian Chingay, Persatuan Wushu Kuching di Tokong Tua Pek Kong di sini, semalam.

Pada masa sama, bekas Ahli Parlimen Stampin itu berkata, pemimpin muda dalam parti itu harus diberi peluang untuk menerajui pucuk pimpinan.

“Ia adalah harapan saya agar semua pemimpin lama memberi peluang kepada pemimpin muda yang mempunyai potensi.

“Berilah kesempatan kepada mereka sekurang-kurangnya lima tahun hingga 10 tahun dan pemimpin veteran pula seharusnya mendukung mereka sebagai mentor,” katanya.

Justeru, Yong mencadangkan pemimpin veteran SUPP menubuhkan satu jawatankuasa mentor bagi memberi sokongan dan tunjuk ajar kepada pemimpin muda yang berpotensi.

Yong menyertai SUPP pada 1978 dan dipilih sebagai Penolong Setiausaha bagi Cawangan Kuching. Beliau pernah berkhidmat sebagai Ahli Parlimen Stampin selama lima penggal.

Advertisement