KUCHING: Peminat sukan tenis tempatan berpeluang menyaksikan kehebatan seramai 58 pemain profesional mewakili 24 negara yang bakal bersaing bagi merebut kejuaraan dalam Kejohanan Tenis ITF Men’s Future AS$15,000.
Kejohanan berprestij itu buat julung kalinya dianjurkan di sini dengan Persatuan Lawn Tenis Sarawak (SLTA) diberi penghormatan selaku penganjur dari 30 Mac hingga 6 April depan.
Presiden SLTA Datuk Patrick Liew melahirkan rasa bangga kerana Sarawak diberi penghormatan untuk menganjurkan salah satu kejohanan ITF bertaraf dunia.
“Ini merupakan kejohanan terbesar anjuran SLTA dan kita berasa sangat bangga kerana diberi kepercayaan untuk menjadi penganjur,” katanya semasa sidang media kejohanan itu semalam.
Menurut Liew, apa yang lebih membanggakan adalah kontinjen Malaysia yang diwakili tujuh pemain akan diketuai pemain tenis profesional kelahiran Sarawak, Mohd Assri Merzuki.
“Penganjuran kejohanan itu di sini dapat memberi peluang kepada kita menyaksikan sendiri kehebatan Assri bersaing dengan pemain profesional dari seluruh dunia.
“Inilah matlamat utama persatuan iaitu memperlihatkan hasil program pembangunan tenis yang kita usahakan sejak bertahun. Selain itu, ia juga akan menjadi bukti bahawa Sarawak mampu melahirkan pemain bertaraf dunia,” katanya.
Menurut Liew lagi, kejohanan itu akan menjadi platform berguna kepada Assri dan pemain-pemain lain menimba pengalaman selain mempertingkatkan kemahiran untuk terus maju dalam karier tenis mereka.
Katanya, SLTA dijangka mengeluarkan kos sekitar RM22,000 hingga RM25,000 untuk menganjur kejohanan tersebut.
“Kita juga bercadang untuk mendapatkan geran dari Kementerian Pelancongan bagi menganjurkan kejohanan ini.
“Sebaik mendapat persetujuan, kejohanan ini akan menjadi salah satu aktiviti pelancongan sukan negeri dan bakal dianjurkan setiap tahun,” tambahnya.
Menurut Liew, pihaknya juga akan menambah jumlah petugas ITF bagi mengendalikan kejohanan itu nanti.
24 negara yang mengesahkan pernyertaan adalah Malaysia, Australia, Kanada, China, Republik Czech, Jerman, Hong Kong, India, Indonesia, Itali, Jepun, Belanda, New Zealand, Filipina, Singapura, Slovakia, Korea Selatan, Sepanyol, Switzerland, Taiwan, Thailand, Amerika Syarikat, Uzbekistan dan Vietnam.