Anda di sini

Skuad takraw Zon Betong libas Zon Krian

Advertisement

BETONG: Pasukan sepak takraw Zon Betong mengungguli Kejohanan Sepak Takraw Majlis Sukan Sekolah-Sekolah Bahagian Betong setelah membenam musuh tradisi pasukan Zon Krian pada perlawanan akhir berpasukan 12 Tahun Ke Bawah(TKB) yang berlangsung di Mini Stadium Betong di sini, kelmarin.

Dalam aksi akhir tersebut dua regu pasukan Zon Betong memenangi perlawanan meskipun terpaksa berhempas pulas dan beraksi hingga ke set penentuan bagi mengesahkan kejuaraan mereka.

Meskipun regu pertama mereka tewas dengan mudah namun kehampaan ditebus oleh regu kedua dan ketiga mereka biarpun beraksi pada set penentuan dan menang dengan mata 2-1.

Terdahulu, pasukan Zon Debak yang ditewaskan pasukan juara pada saingan separuh akhir tidak menghadapi masalah untuk menumpaskan pasukan Zon Spaoh dengan mata 2-0, di tempat ketiga setelah kedua-dua regu yang diturunkan masing-masing mengatasi lawan dengan mudah.

Dalam pada itu, Penolong Penyelia, Unit Sukan Pejabat Pendidikan Daerah Betong, Kon @ Sapawi Yahu berkata, kejohanan ini merupakan medan pemilihan pemain untuk menggalas cabaran Bahagian Betong ke Pertandingan Sepak Takraw MSS Sarawak yang akan berlangsung di Sri Aman pada 21 hingga 24 April ini.

“Saya melihat ada pemain yang benar-benar boleh bermain dan mempunyai teknik permainan yang baik bagi menghadapi lawan serta menyerap tekanan semasa beraksi di gelanggang.

“Semangat beginilah yang harus ada pada setiap atlet dan mempunyai semangat juang yang tinggi serta mampu membawa misi kemenangan dalam setiap kejohanan yang disertai,” ujarnya.

“Atlet yang terpilih juga harus berlatih bersungguh-sungguh dalam menjulang Bahagian Betong.

Jangan mengecewakan bahagian,” tegasnya semasa berucap pada penangguhan kejohanan tersebut.

“Kami di PPD Betong memberi tanggungjawab sepenuhnya kepada Sekolah Kebangsaan(SK) Saint Augustine Betong sebagai pengurus yang akan membawa pasukan ini pada kejohanan itu kelak.

“Untuk itu, setiap atlet yang bakal membawa cabaran kelak harus berlatih dengan lebih serius bagi memantapkan permainan mereka.

“Bagi yang terpilih, usah bangga diri dan yang belum mencapai tahap permainan yang sebenar, berilah sokongan kepada rakan anda,” katanya.

Pada majlis tersebut Kon turut menyampaikan hadiah kepada pasukan pemenang.

Selain itu turut diumumkan atlet yang akan mewakili Bahagian Betong ke temasya MSS Sarawak.

Turut hadir Guru Besar SK Saint Augustine, Sataia Gerik, pegawai terlibat, pengurus pasukan dan jurulatih zon masing- masing.

Sementara itu, kejohanan ini merupakan salah satu acara dalam Karnival Sukan MSS Bahagian Betong yang sepatutnya berlangsung di MRSM Betong namun disebabkan masalah cuaca, pengelola pertandingan Sepak takraw 12 TKB terpaksa mengubah venue utama ke dewan tertutup bagi mengelakkan kelewatan pertandingan.

Selain itu, beberapa acara sukan dan permainan lain turut dijalankan seperti pertandingan ragbi, bola sepak, bola tampar, bola keranjang dan acara lain bagi kategori sekolah menengah dan sekolah rendah dipertandingkan di MRSM Betong bermula pada 17 hingga 19 Mac dengan pertandingan yang masing-masing dikelolakan oleh sekolah terpilih.

 

Advertisement