Anda di sini

Pencarian diteruskan sekalipun penemuan objek oleh Australia

Advertisement

SEPANG: Operasi mencari dan menyelamat (SAR) pesawat Malaysia Airlines (MAS) MH370 diteruskan sekalipun Australia ada menerima imej satelit tentang objek yang mungkin berkaitan dengan pencarian pesawat itu.

“Selagi kita tidak dapat memastikan bahawa kita telah mengesan MH370, operasi mencari dan menyelamat akan diteruskan di kedua-dua koridor,” kata Pemangku Menteri Pengangkutan Datuk Seri Hishammuddin Tun Hussein pada sidang akhbar berhubung perkembangan SAR ke atas pesawat berkenaan di Hotel Sama-Sama, di sini semalam.

Awal Khamis, Perdana Menteri Australia Tony Abbott berkata di Canberra bahawa imej satelit menunjukkan dua objek yang mungkin berkaitan dengan MH370.

Abbot menghubungi Perdana Menteri Malaysia Datuk Seri Najib Tun Razak mengenai penemuan itu pada jam 10 pagi.

“Perlu ditegaskan bahawa penemuan ini, sekalipun andal, masih perlu disahkan,” kata Hishammuddin.

Hishammuddin berkata, pada masa ini, terdapat 18 kapal, 29 pesawat dan enam helikopter dibawa kapal dikerahkan ke sepanjang koridor utara dan selatan.

Dalam perkembangan berkaitan, imej yang dikesan sebagai dua ‘objek’ mungkin berkaitan dengan pesawat MH370 yang hilang adalah ‘tidak jelas,’ kata Pengurus Besar Bahagian Respons Kecemasan Lembaga Keselamatan Maritim Australia (AMSA), John Young.

“Dua objek itu dalam bentuk saiz yang munasabah dan mungkin dihanyutkan oleh air, bergerak turun naik di permukaan,” menurut Young seperti yang dilaporkan agensi berita Reuters.

Agensi berita itu memetik Young pada sidang akhbar di Sydney, Australia, sebagai berkata bahawa negara itu telah menghantar empat pesawat pencari dan dua kapal ke kawasan di bahagian selatan zon pencarian di selatan Lautan Hindi yang dikenal pasti sebelumnya minggu ini, untuk mencari objek yang dikesan oleh satelit itu.

Young berkata, air di kawasan pencarian adalah ‘beberapa ribu meter dalam’ dan penglihatan yang lemah di kawasan itu akan menjejaskan pencarian, walaupun cuaca sederhana, lapor Reuters.

Malaysia Airlines (MAS) Penerbangan MH370, dengan 227 penumpang dan 12 kru, hilang kira-kira sejam selepas meninggalkan Lapangan Terbang Antarabangsa KL pada jam 12.41 pagi, 8 Mac.

Pengumuman di Australia itu dibuat pada hari ke-13 pencarian peringkat antarabangsa bagi pesawat berkenaan yang dikatakan telah melencong dari laluan asal di ruang angkasa Laut China Selatan dan menghala ke Lautan Hindi.

Kawasan pencarian kini ditumpukan kepada dua koridor, iaitu koridor utara yang merentangi kawasan dari sempadan Kazakhstan dan Turkmenistan ke bahagian utara Thailand, dan koridor selatan merentangi kawasan dari Indonesia ke bahagian selatan Lautan Hindi. — Bernama

Advertisement