Anda di sini

Misi meningkatkan mutu pengadilan

Advertisement

SIBU: Persatuan Bola Sepak Bahagian Sibu (SFA) merancang untuk menganjurkan kursus kepada pengadil tempatan bagi memantapkan lagi mutu pengadil bola sepak di sini.

Presiden SFA Fadzil Tamam berkata, tarikh dan tempat kursus itu dianjurkan bagaimanapun masih belum ditetapkan lagi dan hanya diketahui hujung bulan ini.

Menurut beliau, kursus itu bertujuan meningkatkan mutu pengadil tempatan berikutan laporan yang mengatakan prestasi pengadil semasa tidak mencapai tahap seperti yang diharapkan.

“Kita mahu memberikan imej yang lebih baik kepada pengadil bola sepak tempatan agar mereka dihormati oleh pemain dan juga jurulatih,” ujarnya.

Seorang pengadil ujar Fadzil, memainkan peranan penting dalam sesuatu perlawanan memandangkan keputusan mereka boleh menjejaskan kelancaran perlawanan.

“Keputusan pengadil amat penting dan mereka juga tidak harus berat sebelah atau prasangka.

Oleh sebab itu mengapa mereka harus mempunyai disiplin,” jelas beliau.

Difahamkan sebelum ini terdapat lebih 50 pengadil di Bahagian Sibu, dimana jumlah itu berkurangan kepada 20 orang sejak kebelakangan ini.

“Daripada jumlah itu, hanya beberapa orang sahaja yang masih aktif dan ini sekaligus menjejaskan perlawanan,” katanya sambil menambah pihaknya juga merancang menggunakan khidmat pengadil daripada Persatuan Bola Sepak Sarawak (FAS) bagi menjayakan kursus terbabit.

Fadzil juga memberitahu, SFA perlu meningkatkan jumlah pengadil agar dapat menyediakan pengadil yang mencukupi bagi sesuatu pertandingan.

Dengan Liga Sibu 2014 dibahagikan kepada dua kumpulan, beliau melihat ada keperluan bagi meningkatkan jumlah pengadil di sini.

 

Advertisement