Anda di sini

Kecederaan, penggantungan pemain cemari kemaraan Dortmund

Advertisement

DORTMUND, Jerman: Jurulatih Borussia Dortmund Jurgen Klopp mengakui kecederaan kepada pemain pertahanan Marcel Schmelzer dan penggantungan penyerang Robert Lewandowski telah mencemari kemaraan mereka ke peringkat suku akhir Liga Juara-Juara.

Finalis pada musim lepas mara ke peringkat suku akhir walaupun tewas 2-1 di halaman sendiri kepada Zenit St Petersburg dalam perlawanan pusingan kedua peringkat 16 terakhir pada Rabu lepas – kemenangan 4-2 mereka pada pusingan pertama membolehkan kelab Jerman itu untuk mencatatkan kemenangan agregat 5-4.

Bintang Brazil Hulk memberi kelebihan awal kepada Zenit dengan satu rembatan cantik sebelum Dortmund menyamakan kedudukan menerusi tandukan oleh kapten Sebastian Kehl sejurus sebelum waktu rehat.

Penyerang Venezuela Jose Rondon, yang menyertai Zenit pada Januari lalu dari sebuah lagi kelab di Rusia, Rubin Kazan, dimasukkan sebagai pemain gantian untuk menanduk masuk gol kemenangan pada babak kedua.

Kekalahan itu ada akibatnya bagi Klopp apabila pemain pertahanan kiri Schmelzer keluar dengan tempang selepas disyaki mengalami kecederaan pinggul 15 minit sebelum wisel penamat.

Lewandowski, penyerang bintang, dilayangkan kad kuning pada minit ke-19 kerana menyentuh bola dengan tangan, kad kuning ketiganya dalam kejohanan ini, dan digantung untuk perlawanan pusingan pertama suku akhir.

“Saya perlu berhati-hati mengenai apa yang saya sebut mengenai pengadil tetapi saya tidak akan memberikannya,” kata Klopp ketika ditanya mengenai kad kuning yang dilayangkan kepada Lewandowski.

“Ada perkara yang lebih buruk dalam kehidupan.

Apa yang lebih membimbangkan saya adalah kecederaan kepada Marcel Schmelzer.

“Dia begitu sakit sekali pada bahagian pinggul, kita belum tahu lagi apa sebenarnya kecederaan itu tetapi ia berlaku dalam pertembungan dengan Hulk dan ia benar-benar tidak kelihatan bagus.

” Kecederaan Schmelzer boleh menjadi tamparan selanjutnya kepada Dortmund yang sudah pun kehilangan pemain pertahanan tengah Neven Subotic dan pemain sayap Jakub Blaszczykowski akibat kecederaan lutut bagi jangka panjang manakala pemain pertahanan Jerman Mats Hummels baru sahaja kembali dari kecederaan buku lali.

Walaupun mempamerkan prestasi hambar, Klopp gembira melihat Dortmund mara ke peringkat suku akhir bagi tahun kedua berturut-turut.

“Saya sama sekali gembira kerana kami mara, kami menghormati Zenit kerana pasukan mereka berbakat dan kuat dari segi fizikal,” kata Klopp yang akan tahu pasukan mana yang akan menentang pasukannya pada peringkat suku akhir pada hari ini (Jumaat).

“Sesiapa sahaja yang bekerja dalam bola sepak tahu Zenit bukan calang-calang pasukan dan salah sebuah pasukan terbaik dalam bola sepak Eropah kini menanti kami pada peringkat suku akhir.

” Keputusan Rabu lepas merupakan kekalahan ketiga Dortmund dalam Liga Juara- Juara pada musim ini selepas kekalahan di Napoli dan juga di halaman sendiri kepada Arsenal pada peringkat kumpulan.

Penyokong Dortmund menyuarakan ketidakpuasan mereka selepas wisel penamat tetapi Kehl juga tidak suka dengan tindakan mereka.

“Kami sudah tentulah tidak mempamerkan permainan terbaik tetapi saya tidak memahami suasana dalam stadium,” kata pemain berusia 34 tahun itu.

“Kami sudah mara ke peringkat suku akhir, ia ada nilainya.

Kami sangat gembira kerana kami telah mara, kerana kami ada banyak kecederaan pada musim ini.

“Kami tidak pernah merungut mengenainya tetapi ia ternyata memerlukan banyak tenaga.

Walaupun demikian, kami sewajarnya menjadi sebuah daripada lapan pasukan terbaik di Eropah.

” Zenit memperkenalkan bekas pengurus Chelsea dan Tottenham Hotspur Andre Villas-Boas sebagai pengurus baharu mereka semalam (Khamis).

Kelab Rusia itu pasti telah meyakinkan pengurus baharu mereka, selepas mempamerkan persembahan yang bersemangat dan memberikan cabaran kepada Dortmund, hingga nyaris menjaringkan tiga gol yang mereka perlukan di Jerman untuk mara.

“Ia adalah satu tugasan yang besar bagi kami untuk datang ke sini dan menjaringkan tiga gol tetapi malangnya kami tidak dapat melakukannya,” kata jurulatih sementara Zenit, Sergei Semak.

“Saya perlu mengucapkan tahniah kepada pasukan saya di atas persembahan yang bagus, para pemain melakukan yang terbaik.  — AFP

Advertisement