Anda di sini

Hatrik Van Persie nafi peluang Olympiakos

Advertisement

WIRA UNITED: Van Persie (depan) menerima pujian daripada rakan sepasukan selepas berjaya melengkapkan hatriknya sekali gus membantu United melangkah ke peringkat suku kahir Liga Juara-Juara selepas membenam Olympiakos di Old Trafford, England pada Rabu lepas. — Gambar Reuters

PARIS, Perancis: Robin van Persie menjaringkan hatrik sensasi ketika Manchester United menewaskan Olympiakos 3-0 untuk mara ke peringkat suku akhir Liga Juara-Juara pada malam Khamis lepas manakala Borussia Dortmund menyertai mereka pada peringkat lapan terakhir.

Pengurus United yang menerima tekanan David Moyes menyaksikan pasukannya menghasilkan persembahan yang begitu banyak meningkat berbanding kekalahan 3-0 di halaman sendiri pada Ahad lepas kepada Liverpool, dan Van Persie membawa perbezaan apabila juara Liga Perdana yang bermasalah itu mengatasi defisit 2-0 dari pusingan pertama untuk mara.

Drama tidak banyak di Jerman di mana finalis yang tewas pada musim lepas Dortmund kalah 2-1 di halaman sendiri kepada Zenit St Petersburg tetapi mara dengan agregat 5-4.

United sebelum ini pernah sekali bangkit dari kekalahan pusingan pertama untuk memenangi perlawanan Liga Juara-Juara, ketika menentang Roma pada peringkat suku akhir 2007, dan persembahan mereka yang tidak bermaya kebelakangan ini pasti tidak banyak menimbulkan keyakinan di kalangan penyokong tuan rumah di Old Trafford.

Bagaimanapun tandukan Wayne Rooney yang melantun balik dari tiang gol menetapkan rentak sebelum juara Eropah sebanyak tiga kali itu diberi tendangan penalti pada pertengahan babak pertama apabila Jose Holebas merempuh belakang Van Persie.

Pemain Belanda itu dengan yakin menewaskan Roberto dari petak penalti, dan penjaga gol Sepanyol itu kemudian bertindak cemerlang untuk menyelamatkan gawang dari tandukan Patrice Evra.

Olympiakos, yang mempertahankan kejuaraan Greece pada hujung minggu lepas, terus menjadi ancaman dan penjaga gol United David de Gea menyelamatkan satu cubaan berganda yang cantik untuk menafikan David Fuster dan Chori Dominguez sejurus sebelum waktu rehat.

Namun United menyamakan kedudukan agregat dalam masa tambahan separuh masa pertama apabila bola hantaran lintang Rooney dirembat masuk dengan sentuhan pertama oleh Van Persie, dan dia kemudian menjaringkan gol ketiga yang memastikan kemenangan, selain melengkapkan hatriknya, dengan merembat masuk tendangan percuma pada minit ke-52.

Moyes pasti gembira melihat pasukannya bertahan, walaupun perlawanan begitu meresahkan, dan Evra dilayangkan kad kuning yang tidak membolehkannya untuk bermain pada pusingan pertama peringkat suku akhir manakala Van Persie dikeluarkan kerana cedera di akhir perlawanan.

“Cara pemain bertindak balas selepas kekalahan Ahad lepas menggembirakan saya.

Saya berkata kepada mereka pada pagi Isnin, kami perlu menang 3-0 dan memberi balik sesuatu kepada penyokong,” kata Moyes kepada televisyen Sky di Britain selepas perlawanan tamat.

“Mereka berhak menikmatinya kerana kami tidak memberi banyak perkara kepada mereka yang boleh dibanggakan.

Para pemain begitu komited sekali.

Kami tidak bermain dengan baik di Greece tetapi pada malam ini, kami memperbetulkan keadaan, dan kami sewajarnya memenanginya.

“Ia pasti satu perjuangan dari sini, tetapi kami mengalualukan undian,” tambahnya sebelum menyatakan kecederaan kaki Van Persie tidak kelihatan serius.

Di Westfalenstadion, Pierre- Emerick Aubameyang mensiasiakan satu peluang keemasan untuk meletakkan Dortmund di hadapan sebelum penyerang Brazil Hulk meletakkan Zenit di hadapan dengan satu rembatan kencang dari jarak 30 ela.

Selepas tewas 4-2 pada pusingan pertama di Rusia, Zenit masih perlu menjaringkan dua gol lagi tanpa balas untuk mara tetapi pasukan Jurgen Klopp menyamakan kedudukan pada malam itu apabila kapten Sebastian Kehl menanduk masuk bola hantaran lintang Marcel Schmelzer sebelum waktu rehat.

Pemain gantian Jose Rondon membongkok untuk menanduk bola ke dalam gawang dan memenangi perlawanan bagi Zenit di babak kedua, dan jurulatih baharu Andre Villas-Boas pasti memperolehi galakan yang kuat tatkala dia bersiap sedia untuk memegang tampuk di St Petersburg.

Dortmund mara tetapi mereka tidak kelihatan seperti menimbulkan ancaman yang sama seperti 12 bulan lalu dan terpaksa bermain tanpa penjaring terbanyak Robert Lewandowski untuk perlawanan pusingan pertama peringkat suku akhir mereka kerana digantung perlawanan selepas dia dilayangkan kad kuning pada babak pertama.

“Sesiapa sahaja yang bekerja dalam bola sepak tahu Zenit bukan calang-calang pasukan dan salah sebuah pasukan terbaik dalam bola sepak Eropah kini menanti kami pada peringkat suku akhir,” kata Klopp, jurulatih Dortmund.  — AFP

Advertisement