Anda di sini

Abdul Rahman optimis skuad kriket mampu menyinar

Advertisement

KUCHING: Pengerusi Teknikal Kriket Sarawak Abdul Rahman Ibrahim optimis skuad negeri mampu menyinar pada Kejohanan Kriket MSSM B12 dan 18 tahun yang akan berlangsung dari 23-28 Mac ini di Setiu, Terengganu.

Beliau yang merangkap ketua jurulatih berkata peluang Sarawak untuk memburu kejuaraan dilihat terbuka bersandarkan prestasi semasa anak-anak buahnya pada perlawanan di peringkat negeri baru-baru ini.

“Pemain telah membuat persiapan rapi dan bersedia memberi persembahan terbaik pada perlawanan nanti,” katanya semalam.

“Saya percaya berbekalkan dedikasi serta komitmen yang tinggi dari semua pemain bakal membuahkan keputusan positif pada saingan kali ini.

” Abdul Rahman berkata, Sarawak mempunyai peluang yang cukup baik dalam saingan bawah 12 tahun.

Manakala bagi bawah 18 tahun, pihaknya menyasarkan untuk melangkah ke pusingan kedua.

“Kita menaruh harapan tinggi dalam saingan bawah 12 tahun kerana kebanyakan pemain yang dipilih telah menjalani latihan intensif dalam akademi kriket negeri,” katanya.

Menurut beliau, kebanyakan pemain dipilih dari SK Tabuan Hilir, SK Gita 2, SK Siol Kanan dan SK Tabuan.

Manakala pemain bawah 18 tahun dipilih dari SM Sains Kuching, SMKA SHOAW, SM Tun Abdul Rahman, SMK Muara Tuang dan SMK Seri Setia.

Lima belas sekolah dari seluruh negara bakal berentap dalam kedua-dua kategori bagi merebut kejuaraan.

Skuad bawah 18 tahun Sarawak diletakkan dalam Kumpulan C bersama Selangor, Perak dan Putrajaya.

Manakala bawah 12 tahun juga diletakkan dalam kumpulan sama bersama Perak, Kedah dan Perlis.

 

Advertisement