Anda di sini

Vandalisme tetap vandalisme walau tujuan mulia

Advertisement

SALAH TEMPAT: Antara perkataan yang diconteng di dinding Dewan Serba Guna Taman Hormoni, Sri Aman.

Menconteng kemudahan awam dengan luahan terhadap MH370 tetap vandalisme kerana ia bukan untuk diconteng

SRI AMAN: Perbuatan vandalisme terhadap kemudahan awam atau harta persendirian sememangnya dipandang negatif oleh masyarakat di negara ini.

Bagaimanapun di sebalik keburukan perbuatan itu kita rasa terharu apabila ia dikaitkan dengan peristiwa besar yang sedang melanda negara ketika ini.

Ia terbukti apabila perbuatan vandalisme meluahkan perasaan mereka dengan menulis perkataan ‘PRAY 4 MH370 dan SAVE MH370’ pada dinding bahagian hadapan Dewan Serba Guna Taman Harmoni, Sri Aman.

Perkataan itu merujuk  kepada pesawat Boeing 777-200ER (MH370) milik syarikat penerbangan Malaysia Airlines (MAS) yang dilaporkan hilang dan terputus hubungan sejak 8 Mac lalu.

Seorang penduduk yang enggan namanya disiarkan berkata, walaupun perbuatan itu tidak baik kerana mencacatkan dewan itu namun apabila melihat perkataan itu perasaan marah mula reda kerana terlampau sedih mengenang nasib penumpang pesawat MH370 yang hilang itu.

Menurut beliau, banyak perbuatan vandalisme berlaku terhadap dewan ini dengan golongan tersebut bertindak menconteng dan mengotorkan dewan berkenaan kerana melihatnya sentiasa kosong atau tidak digunakan.

Katanya, tindakan penulis ayat itu mungkin berniat baik namun masih dianggap sebagai perbuatan vandalisme kerana dewan serba guna itu dibina bukan untuk tujuan diconteng.

“Saya mencadangkan golongan tersebut menganjurkan acara khas untuk mengumpul tandatangan daripada penghuni Taman Harmoni bagi menunjukkan rasa prihatin terhadap kehilangan pesawat MH370,” katanya kepada Utusan Borneo di sini, semalam.

Selain itu beliau berharap perbuatan suka menconteng harta awam atau persendirian dihentikan dengan segera untuk kebaikan bersama.

Advertisement