Anda di sini

Tetap pelajar terbaik walau sibuk membantu ibu

Advertisement

KENANGAN: (dari kiri) Abdul Radzak, Zainoreen Affandy, Nurul Jannah, Sharifah Nur Izzati Atiqah Wan Abdillah dan Penolong Kanan Tingkatan Enam SMK Petra Jaya Hajijah Awi merakam kenangan selepas majlis penyampaian keputusan STPM semalam.

Nurul Jannah Roslan dinobat Pelajar Terbaik Keseluruhan STPM SMK Petra Jaya dengan PNGK 3.58

KUCHING: Meskipun terpaksa membantu ibu bapa mengurus keperluan empat adiknya, anak sulung, Nurul Jannah Roslan, 20, tidak pernah mengeluh mahupun merasakan dirinya penat untuk menumpukan sepenuh perhatian ketika di sekolah.

Dia yang dinobatkan sebagai Pelajar Terbaik Keseluruhan Sijil Tinggi Persekolahan Malaysia (STPM) Sekolah Menengah Kebangsaan (SMK) Petra Jaya berkata, tidak ada hadiah yang lebih berharga yang dapat diberikan kepada ibu bapanya selain keputusan STPM yang baharu diumumkan semalam.

“Saya bukanlah berasal daripada keluarga yang senang, namun tidak juga berasal daripada keluarga yang susah, namun kecekalan yang saya ada semuanya lahir daripada pengalaman keluarga.

“Ayah saya seorang guru sekolah rendah di daerah Lundu manakala ibu hanyalah seorang suri rumah.

“Selepas menolong ibu menguruskan keperluan adik-adik, waktu itulah saya menelaah pelajaran tanpa diganggu oleh sesiapa pun.

“Keputusan STPM yang baharu diperolehi hari ini (semalam) saya dedikasikan khas buat kedua-dua ibu bapa saya yang telah banyak berkorban dalam menghantar saya ke sekolah,” katanya kepada pemberita.

Menurut Nurul Jannah, dia terpaksa membantu ibu bapa dalam menguruskan adikadik yang berumur antara tiga hingga 16 tahun kerana ibu nya sibuk membuat rempeyek dan kerepek untuk dijual bagi menampung perbelanjaan keluarga.

Tambahnya, selain menghabiskan masa terluang dengan mengulang kaji pelajaran, dia juga banyak mendapat bantuan serta sokongan daripada guru di sekolah.

“Guru di sekolah banyak membantu saya walaupun saya akan bertanya soalan yang sama berulang kali untuk mendapatkan pemahaman yang lebih jelas, mereka tidak pernah merungut dalam mendidik saya,” tambahnya.

Dia yang berhasrat menyambung pelajaran dalam jurusan pendidikan berkata, calon-calon peperiksaan merangkumi Penilaian Menengah Rendah (PMR), Sijil Pelajaran Malaysia (SPM) dan STPM perlu menetapkan matlamat hidup selain memfokuskan tujuan matlamat tersebut sekiranya hendak berjaya.

Selain dinobatkan Pelajar Terbaik Keseluruhan STPM dengan Purata Nilai Gred Keseluruhan (PNGK) 3.58, dia juga merangkul Anugerah Mata Pelajaran Terbaik bagi mata pelajaran Pendidikan Seni Visual (PSV) dan Bahasa Melayu (BM).

Terdahulu, Pengetua SMK Petra Jaya Abdul Radzak Ismail berkata, terdapat peningkatan pada keputusan STPM 2013 sekolah itu berbanding tahun sebelumnya.

“Apa yang saya dapat simpulkan, terdapat peningkatan graf keputusan STPM 2013 yang mencatat kenaikan kepada 2.23 berbanding 2.1 pada 2012.

“Antara mata pelajaran yang mencatat kenaikan ialah Ekonomi, PSV dan Sejarah,” katanya.

Beliau berkata, meskipun SMK Petra Jaya hanya menawarkan mata pelajaran berteraskan sastera di peringkat STPM, ia disifatkan dapat membantu pelajar-pelajar menyambung pengajian ke peringkat universiti.

Pada masa sama, Persatuan Ibu Bapa dan Guru (PIBG) SMK Petra Jaya turut menyumbang wang insentif kepada pelajar yang mendapat keputusan memberangsangkan.

Seramai 30 pelajar STPM SMK Petra Jaya menerima keputusan peperiksaan itu semalam.

Advertisement