Anda di sini

Terperangkap selepas kenderaan junam parit

Advertisement

PACUAN empat roda milik mangsa yang terjunam ke dalam parit di Jalan Damai, Luyang, kelmarin.

KOTA KINABALU: Seorang pekerja katering makanan terperangkap beberapa minit dalam pacuan empat roda yang dipandunya selepas terjunam ke dalam sebuah parit besar berhampiran Jalan Damai, Luyang, di sini kelmarin.

Dalam insiden kira-kira jam 10.50 pagi, mangsa yang berusia 20an itu dipercayai gagal mengawal kenderaan, lalu merempuh dua kenderaan jenis Perodua Myvi dan Kia Naza di lokasi berkenaan.

Impak rempuhan itu, pacuan empat roda dipandu mangsa hilang kawalan sebelum melanggar penghadang jalan lalu terjunam ke parit sedalam lima meter itu.

Orang awam yang berada di tempat kejadian kemudian bergegas bagi mengeluarkan mangsa dari kenderaan berkenaan sebelum dibawa ke hospital bagi rawatan kecemasan.

Bagaimanapun, kedua-dua pemandu Myvi dan Naza itu tidak mengalami sebarang kecederaan dalam kejadian itu.

Ketua Polis Kota Kinabalu Asisten Komisioner Jauteh Dikun berkata, pihaknya masih melakukan siasatan berhubung kes kemalangan itu.

Beliau turut meminta orang ramai yang menyaksikan kejadian itu untuk tampil membantu siasatan polis.

Advertisement