Anda di sini

STPM 2013: Sejumlah 53,422 calon lulus penuh

Advertisement

LAPORAN PENUH: Mohd Noh memegang laporan penuh mengenai Pengumuman Keputusan Peperiksaan STPM 2013 di Auditorium MPM di Kuala Lumpur semalam. Turut hadir, Timbalan Ketua Eksekutif I MPM, Mohd Fauzi Mohd Kassim (kiri). — Gambar Bernama

Prestasi calon lebih baik berbanding tahun sebelumnya meskipun mengikut sistem pentaksiran baharu

KUALA LUMPUR: Sejumlah 53,422 atau 96.75 peratus calon lulus penuh satu hingga lima mata pelajaran dalam peperiksaan Sijil Tinggi Persekolahan Malaysia (STPM) 2013 berbanding 47,910 (92.67 peratus) pada tahun sebe-lumnya.

Pengerusi Majlis Peperiksaan Malaysia (MPM) Profesor Datuk Dr Mohd Noh Dalimin berkata daripada jumlah itu, sebanyak 1,898 (3.44 peratus) calon lulus penuh lima mata pelajaran; 32,763 (59.34 peratus) calon lulus penuh empat mata pelajaran; 9,717 (17.60 peratus) calon lulus penuh tiga mata pelajaran; 5,234 (9.48 peratus) calon lulus dua mata pelajaran dan 3,810 (6.90 peratus) calon lulus penuh satu mata pelajaran.

“Calon yang mendapat lulus penuh dalam lima dan empat mata pelajaran meningkat sebanyak 10,155 calon daripada 24,506 (47.40 peratus) calon pada 2012 kepada 34,661 (62.78 peratus) calon pada 2013,” katanya ketika mengumumkan keputusan STPM 2013 semalam.

Naib Canselor Universiti Tun Hussein Onn Malaysia itu berkata prestasi calon STPM 2013 pada umumnya lebih baik berbanding tahun lepas meskipun menggunakan format berbeza mengikut sistem pentaksiran baharu yang turut dibincang bersama wakil dari Cambridge Assesment, United Kingdom.

Beliau berkata Purata Nilai Gred Keseluruhan (PNGK) Negara pada tahun ini, yang dihitung berdasarkan nilai gred mata pelajaran bagi empat mata pelajaran terbaik termasuk Pengajian Am, juga meningkat kepada 2.55 daripada 2.24 pada STPM 2012.

“Sebanyak 492 (0.89 peratus) calon mendapat PNGK 4.00 berbanding 442 (0.86 peratus) calon pada tahun 2012, iaitu peningkatan sebanyak 50 calon di mana 273 daripadanya adalah calon aliran sastera dan 219 calon daripada aliran sains,” kata-nya.

Mohd Noh berkata jumlah calon yang mendapat Gred A dalam semua mata pelajaran yang diambil pada STPM 2013 meningkat kepada 497 calon berbanding 450 calon tahun lepas, bagaimanapun, calon yang berjaya memperoleh 5A dalam semua mata pelajaran ialah lapan berbanding 18 pada tahun sebelumnya.

Peningkatan juga berlaku dalam jumlah calon sekolah kerajaan yang mendapat lulus penuh dalam lima dan empat mata pelajaran iaitu daripada 23,698 (49.65 peratus) pada tahun 2012 kepada 34,318 (63.21 peratus) calon pada 2013.

Daripada 23 mata pelajaran yang ditawar, prestari 10 mata pelajaran meningkat melebihi 10 peratus berbanding STPM 2012 iaitu Kesusasteraan Melayu Komunikatif (19.87 peratus), Usuluddin (18.53 peratus), Sains Sukan (17.45 peratus), Pengajian Perniagaan (16.87 peratus), Bahasa Arab (16.89 peratus), Sejarah (15.69 peratus), Matematik (M) (15.27 peratus), Perakaunan (13.32 peratus), Syariah (12.36 peratus) dan Bahasa Melayu (12.04 peratus).

Sementara itu, prestasi dua mata pelajaran dianggap tidak berubah di mana Literature in English mencatat +1.04 peratus dan Physics sebanyak -0.59 peratus berbanding STPM 2012, iaitu perbezaan antara -2.00 peratus dan 2.00 peratus.

Hanya satu mata pelajaran turun prestasinya iaitu Matemetik Lanjutan yang mendapat peratusan -28.57 peratus di mana calon yang hadir menduduki peperiksaan hanyalah tujuh daripada 11 orang yang mendaftar.

Selain itu, Mohd Noh berkata jurang prestasi calon bandar dan luar bandar masih ketara di mana prestasi calon bandar jauh lebih baik daripada luar bandar.

“Bilangan calon bandar yang mendapat 5A, 4A dan 3A adalah sebanyak 1,189 (12.02 peratus) berbanding hanya 156 (1.58 peratus) calon luar bandar.

“Calon aliran sains yang mendapat 5A, 4A dan 3A pula adalah sebanyak 473 (17.23 peratus) berbanding 14 (0.51 peratus) luar bandar manakala calon bandar aliran sastera yang mendapat keputusan sama adalah sebanyak 716 (10.02 peratus) calon berbanding hanya 142 (1.99 peratus) calon luar bandar,” katanya.

STPM 2013 menyaksi-kan daripada 58,402 calon mendaftar, sejumlah 55,214 calon (94.54 peratus) hadir menduduki peperiksaan berbanding 51,697 (94.61 peratus) calon yang hadir pada tahun 2012.

Mengulas keputusan pre-stasi 72,101 calon Ujian Bahasa Inggeris Universiti Malaysia (MUET) sesi November 2013 yang dikeluar-kan pada 8 Jan 2014 pula menyaksikan sebanyak 33.15 peratus calon mendapat Band 3 atau lebih baik berbanding 28.52 peratus pada MUET sesi Julai 2013. — Bernama

Advertisement