Anda di sini

Penunggang motosikal maut jatuh parit

Advertisement

KOTA KINABALU: Seorang lelaki tempatan terbunuh selepas motosikal yang ditunggangnya terbabas lalu terjunam ke dalam sebuah parit dalam satu kejadian di Jalan Bukit Padang, di sini malam kelmarin.

Insiden yang terjadi kira-kira jam 2.30 pagi itu, mangsa dikenali sebagai Julhawan Herwin, 26, dari Kampung Kota Peladuk, Kota Belud mengalami kecederaan parah di bahagian kepala dan disahkan meninggal dunia di Hospital Queen Elizabeth (HQE).

Terdahulu dalam kejadian berkenaan, mangsa sedang menuju ke pusat bandar dari arah Country Height, Minintod dan setibanya di lokasi insiden, motosikal yang ditunggangnya hilang kawalan sebelum terbabas.

Impak daripada kemalangan itu, mangsa dikatakan tercampak lalu terjatuh ke dalam sebuah parit di situ.

Orang awam yang secara kebetulan berada di tempat kejadian kemudiannya bergegas menghantar mangsa ke hospital bagi mendapatkan rawatan.

Bagaimanapun, mangsa disahkan meninggal dunia kira-kira jam 3.30 pagi kelmarin dipercayai akibat kecederaan parah di bahagian kepala.

Ketua Polis Kota Kinabalu Asisten Komisioner Jauteh Dikun ketika dihubungi mengesahkan kejadian itu.

Menurut beliau, orang ramai yang menyaksikan kejadian itu diminta tampil untuk membantu siasatan berhubung kes berkenaan.

“Kes disiasat mengikut Seksyen 41 (1) Akta Pengangkutan Jalan 1987,” katanya.

Advertisement