Anda di sini

KPM teruskan usaha lahirkan atlet cemerlang, berwibawa

Advertisement

RASMI: Dr Rahman (dua kiri) memukul gong sebagai simbolik perasmian Kejohanan Balapan dan Padang Majlis Sukan Sekolah Bahagian Limbang petang kelmarin. Turut kelihatan Mohamad (empat kiri), Fadzilah (dua kiri) serta yang lain.

LIMBANG: Penubuhan sekolah- sekolah sukan di seluruh negara termasuk Sekolah Menengah Tabuan Jaya, Kuching adalah usaha berterusan Kementerian Pendidikan Malaysia (KPM) untuk melahirkan ramai atlet yang cemerlang dalam bidang sukan dan akademik.

Menteri Perancangan Sumber dan Alam Sekitar Kedua Datuk Amar Awang Tengah Ali Hasan berkata, Sekolah Sukan Malaysia merupakan sekolah untuk mengumpul atlet dari kalangan murid berpotensi supaya bakat cemerlang sukan dan akademik dapat dipertingkatkan.

Beliau berkata, jurulatih berdedikasi serta guru-guru akademik terpilih akan berperanan untuk terus membimbing dan mengasah bakat atlet tersebut.

“Pengawasan lebih tersusun dan cekap, peningkatan prestasi akademik dan sukan akan dapat diseimbangkan dan disepadukan dengan adanya Sekolah Sukan Malaysia ini,” ujarnya pada Kejohanan Balapan dan Padang Majlis Sukan Sekolah Bahagian Limbang Ke- 44 di Kompleks Sukan Limbang petang kelmarin.

Teks ucapan beliau dibacakan oleh Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Bukit Kota Dr Abdul Rahman Ismail.

Turut hadir Pegawai Pelajaran Daerah Limbang Mohamad Tangah, pengerusi pengelola yang juga Pengetua SMK Agama Limbang Fadzilah Kassim dan jemputan lain.

Awang Tengah berkata, penglibatan dalam sukan perlu diseimbangkan dengan bidang pelajaran di sekolah.

“Masa untuk melibatkan diri dalam aktiviti bersukan perlu dilakukan sebaiknya, begitu juga dengan pelajaran.

“Kedua-dua bidang ini akan memberi pulangan baik jika dilakukan dengan perancangan terbaik serta mengikut landasan yang betul,” katanya lagi.

Kata beliau, negara mengiktiraf sukan dan pendidikan sebagai laluan untuk kerjaya masa hadapan.

Sehubungan itu, jelasnya, generasi muda harus merebut peluang yang disediakan dan mereka yang mempunyai bakat bersukan perlu diberi galakan.

Menyentuh mengenai pencapaian sukan bahagian ini, beliau menjelaskan Limbang tidak boleh dipandang enteng dalam pencapaian sukan di negeri ini.

“Bahagian Limbang pernah menjadi lubuk melahirkan ayam tambatan dan jaguh dalam pelbagai sukan sama ada di peringkat negeri mahupun kebangsaan.

“Bahagian ini juga pernah mengukir nama dalam bidang sukan apabila melahirkan beberapa jaguh dan atlet sukan yang mewakili negeri dan negara suatu ketika dulu.

“Nama-nama seperti Balang Lasung, James Yaakup dan David Kuyok mungkin tidak pernah didengar generasi baharu apatah lagi untuk mengenali mereka,” tambahnya.

Awang Tengah memberitahu, Balang pernah muncul johan seluruh Asia dalam acara merejam lembing, James Yaakup dan David Kuyok pula dalam sukan bola sepak.

“Kini bintang semakin menyinar dalam sukan bola sepak ialah Ashri Chucu yang berasal dari Lawas merupakan pemain kesebelasan utama Nyap Sayot pada musim ini,” katanya.

Terdahulu, katanya, sukan balapan dan padang serta permainan sukan lain penting kepada rakyat dan negara khususnya generasi anak bangsa pewaris masa depan.

Selain menjamin kecergasan fizikal, minda dan kesihatan, aktiviti sukan dapat memupuk semangat kesukanan dan perpaduan sekali gus memperkukuhkan hubungan selari dengan konsep 1Malaysia.

“Melalui sukan ia dapat menjadi pemangkin ke arah semangat tinggi dalam kalangan atlet selain melatih diri untuk mempunyai minda terbuka,” katanya lagi.

Sebanyak 11 kontinjen menyertai kejohanan itu membabitkan sembilan sekolah menengah dan dua sekolah rendah di Limbang dan Lawas.

Pada majlis sama, Awang Tengah mengumumkan geran kerajaan sebanyak RM10,000 dan RM5,000 daripada Dr Rahman.

Advertisement