Anda di sini

Johnny terpaksa lupakan SUKMA XVII buat seketika

Advertisement

KUCHING: Skuad bola sepak Sarawak hanya akan memulakan persediaan menghadapi SUKMA XVII sebaik saingan Piala Presiden 2014 berakhir.

Pengendalinya Johnny Dominicus berkata fokus beliau kini adalah terhadap saingan Piala Presiden yang telah memasuki pusingan kedua.

“Kita hanya akan memulakan persediaan menghadapi SUKMA XVII sebaik saingan Piala Presiden 2014 tamat pada penghujung April depan.

“Ketika ini, saya mahu menumpukan perhatian sepenuhnya terhadap saingan liga,” katanya semalam.

Menurut Johnny, beliau sudah mempunyai perancangan lengkap terhadap anak-anak buahnya bagi menghadapi temasya yang akan berlangsung di Perlis dari 24 Mei hingga 4 Jun nanti.

“Saya bercadang untuk membawa skuad menjalani latihan di semenanjung Malaysia sebelum berlepas ke Perlis.

“Ia penting memandangkan kebanyakan pemain kita masih baharu dan memerlukan banyak pendedahan bagi membina keyakinan dan memantapkan lagi permainan mereka.”

Bagaimanapun, beliau masih menunggu kelulusan dari Persatuan Bola Sepak Sarawak (FAS) mengenai cadangan tersebut.

Jurulatih dari Sabah itu menambah untuk edisi kali ini Sarawak akan menyenaraikan 18 pemain yang kebanyakannya dipilih dari skuad Piala Presiden.

Bagaimanapun, beliau tidak menolak untuk menyerap pemain baharu jika ada calon yang berpotensi.

Skuad Piala Presiden Sarawak akan menentang Kedah di Stadium Darul Aman petang ini.

Mereka juga akan bertandang di gelanggang lawan menentang Kelantan pada Khamis depan.

Advertisement