Anda di sini

Joas masih berharap enam syor diterima

Advertisement

Adrian bersama Ketua Urusetia Joas Jannie Lasimbang, Andrew Ambrose dan Pembantu Pentadbiran Partners of Community Organizations in Sabah (Pacos) Rojieka Mahin.

KOTA KINABALU: Kecewa dengan penolakan terhadap enam syor yang dikemukakan berhubung hak-hak Orang Asal, Jaringan Orang Asal SeMalaysia (Joas) masih meletakkan harapan agar enam syor berkenaan akan diterima kerajaan.

Jurucakap Joas Sabah Adrian Banie Lasimbang berkata, penjelasan penolakan enam syor berkenaan amat mengecewakan kerana pada asalnya mereka menyangka kerajaan memberi maklumbalas positif.

Sebaliknya, tiada satu pun dari enam syor berkaitan hak-hak Orang Asal semasa kitaran kedua Penilaian Penggalan Sejagat (UPR) Majlis Hak Asasi Manusia Pertubuhan Bangsa-bangsa Bersatu (PBB) itu diterima.

Beliau berkata demikian semasa sidang media mengenai maklumbalas diterima terhadap syor-syor mengenai Orang Asal sempena UPR, di sini kelmarin. Sidang media itu diadakan secara serentak dengan Semenanjung Malaysia dan Sarawak.

Dalam usaha mengemukakan syor-syor berkenaan, pelbagai usaha dilakukan termasuk berjumpa dengan Kedutaan Malaysia di Geneva semasa pembentangan cadangan syor-syor itu dilakukan pada September 2013.

Selain itu, syor-syor berkenaan juga sudah dibincangkan dengan Kementerian Luar Negeri dan wakil kedutaan dari 22 negara pada Ogos tahun lalu.

Dalam UPR itu, terdapat 232 syor berkaitan hak Orang Asal yang dikemukakan negara-negara yang menyertainya dan terdapat syor-syor membina daripada beberapa negara untuk digunakan di Malaysia. Syor-syor itu adalah dari Norway, Denmark, Sweden, New Zeland, Australia dan Guatemala.

Enam syor yang ditolak itu termasuklah membenarkan lawatan pelapor khas PBB mengenai hak-hak Orang Asal; memastikan undang-undang Orang Asal dan pelaksanaannya; dan memastikan hak-hak Orang Asal dan orang tempatan yang bergantung kepada hutan terjamin dalam undang-undang dan dalam pelaksanaan, khususnya hak-hak berkaitan tanah, wilayah dan sumber tradisi.

Syor-syor lain adalah menubuhkan Suruhanjaya Kebangsaan Orang Asal yang bebas dan memastikan undang-undang, polisi dan pelaksanaannya berdasarkan Deklarasi Hak Orang Asal Antarabangsa PBB; menubuhkan sebuah badan bebas untuk menyiasat pertikaian terhadap tanah, wilayah dan sumber; serta mengambil langkah-langkah untuk menangani isu-isu diketengahkan dalam Inkuiri Nasional mengenai hak tanah Orang Asal, dengan penglibatan sepenuhnya daripada Orang Asal.

Adrian berkata, maklumbalas yang diterima daripada kerajaan menyatakan bahawa Malaysia akan terus mengambil langkah bagi melindungi dan menghormati hak-hak Orang Asal.

Malah, Pasukan Petugas yang terdiri daripada pegawai-pegawai kanan kerajaan, wakil-wakil masyarakat sivil dan ahli akademik kini dalam proses untuk menentukan butir-butir dalam syor-syor yang dikemukakan.

Adrian berkata, jumlah wakil Sabah dan Sarawak dalam Pasukan Petugas itu hanya 30 peratus.

Difahamkan, perbincangan isu-isu penting adalah sangat terhad dan tidak mampu menangani penafian-penafian yang berterusan oleh wakil-wakil kerajaan terhadap pencabulan hak-hak tanah Orang Asal secara sistematik seperti yang diketengahkan dalam laporan Inkuiri Nasional Suruhanjaya Hak Asasi Manusia (Suhakam).

Beliau menyatakan bahawa dalam memperjuangkan hak Orang Asal, Malaysia masih berada di kedudukan yang rendah.

Katanya, sekiranya kerajaan tidak menerima syor-syor itu, diharap wakil Malaysia akan menyertai Persidangan Antarabangsa mengenai Orang Asal yang akan diadakan pada 23 dan 24 September tahun ini.

Beliau berkata, persidangan itu adalah peluang yang baik untuk negara ini melihat perjuangan hak Orang Asal di peringkat antarabangsa.

Advertisement