Anda di sini

Jabatan Pendidikan Perak tunggu laporan penuh tragedi Gunung Bubu

Advertisement

IPOH: Jabatan Pendidikan Negeri (JPN) Perak menunggu laporan penuh daripada pihak sekolah serta pasukan mencari dan menyelamat sebelum membuat apa-apa keputusan berhubung tragedi pelajar maut di Gunung Bubu, Ulu Kenas di Kuala Kangsar kelmarin.

Pemangku Pengarah JPN Mohd Idris Mohd Ramli berkata laporan penuh mengenai ekspedisi perkhemahan dan pendakian Gunung Bubu melibatkan 25 pelajar dan enam guru pengiring itu perlu disediakan oleh pihak pengurusan Kolej Vokasional Kuala Kangsar.

“Selain itu kami juga mahu mendapatkan laporan penuh daripada pasukan penyelamat untuk melihat aspek lokasi dan bagaimana kejadian itu boleh berlaku,” katanya kepada pemberita selepas mengumumkan keputusan peperiksaan Sijil Tinggi Persekolahan Malaysia (STPM) 2013 negeri Perak di sini semalam.

Beliau berkata pihaknya difahamkan aktiviti perkhemahan serta pendakian di Gunung Bubu merupakan kegiatan tahunan sekolah berkenaan.

Mengikut prosedur ope-rasi standard (SOP), pihak sekolah perlu mendapat kebenaran Pejabat Pendidikan Daerah serta pihak-pihak berkaitan sebelum melaksanakan kegiatan luaran, katanya.

“Selain kebenaran ibu bapa, guru atau pegawai yang terlibat perlulah sese-orang yang berpengalaman dan berkemampuan. Pihak sekolah juga perlu maklumkan kepada pihak berkaitan seperti polis dan pihak yang menjaga kawasan aktiviti,” katanya.

Mohd Idris yang mewakili seluruh warga JPN Perak merakamkan ucapan takziah kepada keluarga dua pelajar Kolej Vokasional Kuala Kangsar iaitu Muhamad Amir Asyraff Baharuddin dan Adam Asraf Azman, kedua-duanya berusia 17 tahun.

Mereka yang dilapor hilang ketika menuruni Gunung Bubu pada Ahad lepas, ditemui maut di dalam Sungai Gading, kira-kira 13 kilo-meter dari kaki gunung ber-kenaan, kelmarin.

Muhammad Putera Rafii dan Siti Azimah Mohd Fitri yang turut dilaporkan hilang bersama mereka, dijumpai pada jam 9 pagi di persisiran Sungai Gading dalam keadaan lesu keletihan.

Keempat-empat pelajar itu merupakan sebahagian daripada 25 pelajar tingkatan lima kolej itu yang mengikuti program perkhemahan tiga hari dua malam di gunung berkenaan.

Gunung Bubu setinggi 1,657 meter dari paras laut yang terkenal dalam kalangan pendaki tempatan, menyedia-kan Kem Sungai Gading dan Kem Batu Dinding, untuk bermalam. — Bernama

Advertisement