Anda di sini

Data simulator yang dipadam libatkan tiga jenis permainan

Advertisement

SESI SOAL JAWAB: Hishammuddin (tiga kiri) ketika sidang media mengenai perkembangan terkini pesawat MH370 di Hotel Sama Sama Lapangan Terbang Antarabangsa Kuala Lumpur di Sepang, semalam. Turut hadir ialah Khalid (kanan), Ahmad Jauhari (kiri) dan Azharuddin. — Gambar Bernama

SEPANG: Maklumat yang dipadamkan dalam simulator milik juruterbang Malaysia Airlines MH370 yang hilang sejak 8 Mac, Kapten Zaharie Ahmad Shah adalah data log daripada tiga jenis permainan penerbangan.

Ketua Polis Negara Tan Sri Khalid Abu Bakar berkata hasil siasatan awal mendapati data log daripada simulator itu dipercayai dipadamkan pada 3 Feb lepas.

“Tiga jenis permainan dalam simulator itu adalah ‘flight simulator X’, ‘flight simulator 9’ dan ‘X flight 10’,” katanya pada sidang media harian mengenai perkembangan terbaharu operasi mencari dan menyelamat MH370 di sini semalam.

Sidang media itu dihadiri pemangku Menteri Pengangkutan Datuk Seri Hishammuddin Tun Hussein, Ketua Pegawai Eksekutif MAS Ahmad Jauhari Yahya dan Ketua Pengarah Jabatan Penerbangan Awam (DCA) Datuk Azharuddin Abdul Rahman.

Simulator itu diambil pada 16 Mac lepas dari rumah Zaharie di Shah Alam untuk dibawa ke Bukit Aman dan diperiksa, dengan harapan memberi penunjuk bagi mencari pesawat itu.

Penerbangan MAS MH370 yang membawa 227 penumpang (termasuk dua bayi) dan 12 anak kapal, hilang ketika dalam perjalanan dari Kuala Lumpur ke Beijing kira-kira sejam setelah berlepas dari Lapangan Terbang Antarabangsa KL pada jam 12.41 tengah malam Jumaat.

Pesawat sepatutnya mendarat di Beijing pada jam 6.30 pagi Sabtu.

Khalid juga berkata data yang dipadam itu akan diperoleh semula melalui kaedah forensik dengan melibatkan pakar dari CyberSecurity Malaysia, pakar luar negara dan MAS.

Katanya keluarga Zaharie dan keluarga pembantu juruterbang Fariq Abdul Hamid juga memberikan kerjasama sepenuhnya sepanjang proses penyiasatan berlangsung.

“Apa juga yang kami perlukan, semua anggota keluarga juruterbang dan pembantu juruterbang telah beri sepenuh kerjasama dan tiada masalah untuk kami dapatkan sebarang maklumat,” katanya. — Bernama

Advertisement