Anda di sini

Sarawak, New Zealand harus perkembang kerjasama: Jabu

Advertisement

UNIK: Johnstone menerangkan ukiran kayu pada pameran ‘Tuku Iho | Living Legacy’ kepada Jabu dan Empiang di Muzium Seni Sarawak, semalam.

KUCHING: Sarawak dan New Zealand perlu meneroka pelbagai bidang kerjasama tatkala terus memperkukuhkan hubungan pendidikan.

Timbalan Ketua Menteri Datuk Patinggi Tan Sri Alfred Jabu Numpang berkata, Sarawak mempunyai hubungan cemerlang dengan New Zealand selama lebih setengah abad di mana jalinan itu dipupuk melalui pendidikan.

Jelasnya, ramai penduduk Sarawak generasi pasca kemerdekaan melanjutkan pengajian tinggi di negara itu.

“Tidak mustahil untuk Sarawak dan New Zealand membuka jendela yang lebih besar dan ruang penambahbaikan yang lebih luas terutamanya dengan hubungan baik terjalin lebih 60 tahun.

“Selain rangkaian pendidikan, banyak bidang lain seperti pelancongan, perdagangan, pelaburan boleh dibangunkan hasil daripada hubungan baik ini,” ujarnya ketika berucap merasmikan pameran ‘Tuku Iho | Living Legacy’ di Muzium Seni Sarawak di sini, semalam.

Hadir sama isterinya Dato Sri Empiang Jabu, Pesuruhjaya Tinggi New Zealand ke Malaysia David Pine, Pengarah Institut Kraf dan Seni Maori New Zealand Karl Johnstone, Menteri Muda Pelancongan Mong Dagang dan Datuk Bandar Dewan Bandaraya Kuching Utara Datuk Abang Abdul Wahap Abang Julai.

Jabu berkata, hubungan baik tersebut perlu diteruskan dari semasa ke semasa khususnya oleh generasi lebih muda di negeri ini.

“Saya menyeru generasi lebih muda di Malaysia khasnya Sarawak untuk meneruskan hubungan baik ini kerana kita mempunyai banyak bidang yang boleh dibangunkan bersama,” katanya.

Mengulas mengenai pameran yang diadakan sempena Minggu New Zealand itu, Jabu menjelaskan penduduk Sarawak dan kaum Maori dari New Zealand tidak banyak perbezaan, khasnya dari segi adat dan warisan.

Justeru, katanya, penduduk negeri ini boleh berkongsi pengetahuan dengan kaum Maori lebih-lebih lagi berkenaan ukiran kayu dan motif.

“Budaya New Zealand dan kita di sini tidak banyak perbezaan, seperti kita di Sarawak mempunyai banyak adat dan budaya yang unik.

“Dijadikan contoh, tadi (semalam), mereka (Maori) mengalu-alukan kedatangan tetamu dengan tarian ‘haka’, sama seperti kita Iban mengalu-alukan kedatangan tetamu dengan ngajat, serta Melayu dengan pencak silat,” katanya.

Advertisement