Anda di sini

Penyiasatan pendapatan, perbelanjaan penting

Advertisement

KUCHING: Penyiasatan Pendapatan dan Perbelanjaan Isi Rumah yang dilaksanakan oleh Jabatan Perangkaan Malaysia (JPM) telah banyak memberi input untuk setiap Rancangan Malaysia.

Menteri Kebajikan, Wanita dan Pembangunan Keluarga Datuk Fatimah Abdullah berkata, penyiasatan yang bermula Januari hingga Disember tahun ini akan digunakan bagi penyediaan input kepada Rancangan Malaysia Kesebelas (RMK-11) dan menilai Rancangan Malaysia sebelumnya.

“Laporan penyiasatan sama yang lalu mendapati pendapatan isi rumah bulanan purata di Malaysia telah meningkat daripada RM4,025 sebulan pada 2009 kepada RM5,000 sebulan pada 2012.

“Pekali Gini yang digunakan untuk mengukur jurang perbezaan pendapatan antara bandar dan luar bandar telah menurun daripada 0.441 pada 2009 kepad 0.431 pada 2012,” katanya.

Beliau berkata demikian dalam teks ucapannya yang dibacakan oleh Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Pantai Damai Dr Abdul Rahman Junaidi pada Majlis Perasmian Seminar Kepentingan Statistik Pendapatan dan Perbelanjaan Isi Rumah Kepada Pembangunan Sosioekonomi Negara di Dewan Asajaya, Hotel Grand Margherita di sini semalam.

Tambahnya, antara dua tempoh tersebut juga, kadar kemiskinan menyusut daripada 3.8 peratus kepada 1.7 peratus.

“Ini merupakan indikator atau penunjuk terhadap kejayaan dasar yang dilaksanakan oleh kerajaan.

“Semua statistik ini tidak mungkin terhasil tanpa JPM yang mengumpul data dan responden yang membekalkannya,” jelasnya.

Bagi perspektif Sarawak, pada tempoh yang sama pendapatan isi rumah bulanan purata telah meningkat daripada RM3,581 kepada RM4,293 sebulan manakala Pekali Gini telah menguncup daripada 0.448 kepada 0.440.

“Sarawak yang luas dengan demografi tersendiri dan kepelbagaian etnik memerlukan maklumat makro untuk memberi fokus terhadap setiap program kepada kumpulan sasarannya.

“Justeru, statistik yang terhasil daripada penyiasatan yang dijalankan adalah sangat diperlukan sebagai input bagi setiap perancangan yang akan dilaksanakan,” katanya.

Pada tahun 2014 tambahnya, keadaan ekonomi global masih mencabar dan tempiasnya turut dirasai oleh Malaysia.

“Pelaksanaan rasionalisasi subsidi kerajaan yang merupakan sebahagian daripada program pengukuhan fiskal sedikit sebanyak akan meningkatkan kos sara hidup rentetan daripada peningkatan harga barang.

“Semua senario ini akan memberi impak sosial kepada rakyat walaupun tampil dengan inisiatif tambahan bagi membantu meringankan beban sara hidup yang semakin meningkat.

“Data-data yang dipungut oleh penyiasatan ini juga boleh memberi gambaran sejauh mana subsidi bersasaran yang diperkenalkan menepati aspirasi kerajaan,” jelasnya.

Oleh yang demikian, Fatimah berharap seminar itu dapat memberi gambaran lebih jelas tentang kepentingan data berkualiti kerana ia merupakan input kepada pelaksanaan pelbagai program pembangunan sosioekonomi negara.

“Kesedaran dan kefahaman responden adalah penting untuk meningkatkan kerjasama yang berterusan.

“Sesi ini juga diharap akan menjadi satu forum di mana kedua-dua pihak (JPM dan responden) dapat berinteraksi dalam menghasilkan cadangan dan pandangan yang bernas serta inklusif ke arah penambahbaikan,” ujarnya.

Penyiasatan Pendapatan dan Perbelanjaan Isi Rumah 2014 meliputi semua negeri dan daerah pentadbiran di Malaysia dengan respondennya terdiri daripada isi rumah terpilih.

Kira-kira 83,500 isi rumah yang tinggal di tempat kediaman persendirian akan terlibat dan ditemu ramah bagi mendapatkan maklumat berkaitan demografi, pendapatan, perbelanjaan dan kemudahan asas.

Di Sarawak sahaja, kira-kira 12,300 isi rumah akan dilawati dan ditemu ramah meliputi 31 daerah pentadbiran.

Hadir pada majlis tersebut ialah Ketua Perangkawan Malaysia Datuk Dr Abdul Rahman Hassan, Pengarah Bahagian Korporat dan Khidamt Pengguna JPM Nazaria Baharudin dan Timbalan Pengarah JPM Sarawak Sabrina Sabri.

Advertisement