Anda di sini

Pelaksanaan perlu menyeluruh

Advertisement

Ewon ditemani Sharif (kiri) dan Rossita (tengah) melawat pameran sempena Persidangan Antarabangsa Marin Sains dan Akuakultur 2014 di 1Borneo.

Urus ekosistem marin pantai dan kelestarian sumber marin

KOTA KINABALU: Pelaksanakan strategi perlu lebih menyeluruh dan berorientasikan ekologi untuk menilai, memantau dan mengurus ekosistem marin pantai untuk meningkatkan kesihatan, hasil biojisim dan kelestarian sumber marin.

Menteri Sains, Teknologi dan Inovasi Datuk Dr Ewon Ebin berkata, tanpa meningkatkan sistem sokongan kehidupan dan melindungi biodiversiti marin, keupayaan produktif laut tidak boleh ditingkatkan.

“Potensi sepenuhnya sumber-sumber kehidupan marin untuk memenuhi keperluan pemakanan manusia dan matlamat pembangunan sosio-ekonomi tidak boleh dicapai,” katanya.

Beliau berkata demikian pada sidang media selepas melancarkan Persidangan Antarabangsa Sains Marin & Akuakultur 2014 bertemakan `Perspektif Ekosistem dalam Pembangunan Mampan’ anjujran Universiti Malaysia Sabah (UMS) di Hotel 1Borneo kelmarin.

Turut hadir Timbalan Naib Canselor UMS Prof Sharif Abd Kadir dan Timbalan Pengarah Institut Penyelidikan Marin Borneo yang juga pengerusi penganjur persidangan Prof Dr Rossita Shapawi.

Ewon berkata, kementeriannya dan Kementerian Sains, Teknologi & Inovasi (MOSTI) melibatkan diri secara intensif dalam membangunkan dasar laut dan berusaha ke arah pembangunan rangka kerja saintifik dan integrasi penyelidikan merentas sektor nasional, serantau dan antarabangsa.

“Dalam konteks ini, sumbangan saintifik Institut Penyelidikan Marin Borneo Universiti Malaysia Sabah (UMS) akan pasti amat dihargai dan penuh makna,” katanya.

Katanya, interaksi manusia dalam ekosistem marin pantai begitu kuat di mana tahap stres yang hanya boleh diuruskan oleh idea-idea inovatif dengan asas sains yang kukuh untuk pembangunan mampan.

Ewon berkata, tindakan manusia dalam bentuk eksploitasi berlebihan sumber biologi, amalan penangkapan ikan yang tidak mapan, kemusnahan habitat, kehilangan biodiversiti, pencemaran dan berlebihan nutrien menyebabkan episod ledakan alga berbahaya berulang adalah ancaman kepada kemampanan.

Katanya, satu cabaran besar kepada pembangunan mampan yang ditimbulkan oleh perubahan iklim, terutama kesannya antara lain dalam bentuk pengasidan laut dan pengembangan zon mati di lautan.

Sehubungan itu, beliau mahu saintis negara ini memberi tumpuan kepada masalah yang mencabar dan membangunkan hubungan kerjasama dengan institusi-institusi antarabangsa.

Terdahulu dalam ucapannya, Ewon berkata, perubahan iklim dan pengasidan laut adalah masalah global yang memerlukan usaha global.

Justeru, beliau berpendapat persidangan antarabangsa itu yang membawa ahli-ahli sains dari seluruh dunia dalam satu forum boleh memudahkan pembangunan pelan tindakan bersama.

Katanya, sektor pengeluaran makanan laut lain adalah akuakultur yang semakin mendapat perhatian di seluruh dunia. Mereka tiada pilihan melainkan membangunkan akuakultur untuk keselamatan makanan laut.

Ewon berkata, Malaysia mendahului Asia Tenggara dalam penggunaan makanan laut dan Sabah mendahului aktiviti ini.

“Kita juga mahu meningkatkan pengeluaran untuk eksport. Saya berharap penyelidikan inovatif dalam bidang ini adalah kepentingan strategik negara.

Katanya, paradigma penyelidikan akuakultur juga beralih kepada pendekatan ekosistem dengan tujuan mengintegrasikan aktiviti ini dalam ekosistem yang lebih luas demi pembangunan, manfaat perkongsian serta daya tahan sistem sosial dan ekologi saling mampan.

“Saya sedar kerja baik yang dilakukan di Institut Penyelidikan Marin Borneo yang membawa kepada kemunculan Pusat Kecemerlangan UMS di peringkat kebangsaan dengan pengiktirafan yang diberikan oleh Kementerian Pelajaran berpotensi sebagai satu Pusat Kecemerlangan Institusi Pengajian Tinggi Potensi atau HICoE tahun lepas.

“Ia adalah satu strategi yang bijak oleh pihak UMS dalam mengenal pasti akuakultur sebagai kawasan khusus penyelidikan. Ini mungkin akan membina momentum yang perlu ke arah langkah penting dalam bidang ini,” katanya.

“Dengan pengetahuan baru, program-program akuakultur ini akan mewujudkan strategi pengurusan pengetahuan yang akan ditubuhkan. Saya pasti Institut Penyelidikan Marin Borneo akan dapat menyumbang ke arah mengisi jurang pengetahuan dan menyokong pembangunan kritikal pakar diperlukan untuk menggerakkan sektor penting antarabangsa ini ke tahap yang baru,” katanya.

Ewon berkata, Sabah juga mempunyai kawasan bakau terbesar di negara ini dan dengan itu stok karbon biru yang kaya perlu dihargai. Kebanyakan sumber terumbu karang di negara ini adalah di Sabah dan ini perlu dilindungi untuk faedah mampan.

“Habitat marin kritikal Sabah mempunyai potensi yang besar untuk mengurangkan kesan perubahan iklim, dan saya meminta masyarakat saintifik berkumpul di sini hari ini untuk membincangkan apa cara kita boleh membina daya tahan ekosistem ini dalam menghadapi cabaran yang ditimbulkan oleh perubahan iklim,” katanya.

 

Advertisement