Anda di sini

MINDEF catatkan peningkatan aduan pada 2013 berbanding 2012, kata Masnoor

Advertisement

TINGKAT KUALITI: Masnoor (kiri) melawat gerai yang dibuka sempena Program Jelajah Hari Bertemu Pelanggan (Zon Sarawak) di Pangkalan Udara TUDM di Kuching, semalam.

KUCHING: Walaupun kajian kepuasan pelanggan Kementerian Pertahanan (MINDEF) berada di tahap 90 peratus pelanggan berpuas hati, namun terdapat peningkatan aduan yang diterima oleh MINDEF.

Ketua Seksyen Pentadbiran Korporat Kem Pertahanan Masnoor Ashaari berkata, peningkatan aduan tersebut direkodkan pada tahun lepas berbanding jumlah aduan pada 2012.

“Pada 2012 kami menerima 41 aduan dan tahun 2013 kami telah menerima 78 aduan…peningkatan 37 aduan,” katanya ketika berucap pada Program Jelajah Hari Bertemu Pelanggan (Zon Sarawak) di Pangkalan Udara Tentera Udara Diraja Malaysia (TUDM) di sini, semalam.

Program Jelajah Hari Bertemu Pelanggan diadakan di seluruh negara dengan tumpuan kepada pelanggan dalaman MINDEF iaitu terdiri daripada anggota tentera, kakitangan awam MINDEF dan veteran ATM termasuk ahli keluarga.

Masnoor menjelaskan bahawa program yang berkonsepkan turun padang itu adalah sebagai pendekatan berkesan untuk mengenal pasti isu-isu dihadapi penjawat awam dan rakyat, seterusnya menyelesaikannya dengan segera.

Justeru, beliau berharap program berkenaan akan dimanfaatkan untuk meningkatkan kualiti perkhidmatan MINDEF.

“Program ini bertujuan memberi pendedahan secara terus kepada pelanggan dalaman MINDEF mengenai perkhidmatan dan bantuan yang ditawarkan kepada semua warga MINDEF.

“Ia juga berperanan sebagai saluran memaklumkan kepada semua warga MINDEF agar menyalurkan pandangan, cadangan dan aduan mengikut saluran yang betul,” katanya.

Jelajah zon Sarawak melibatkan agensi Kementerian Pertahanan iaitu Jabatan Hal Ehwal Veteran (JHEV), Perbadanan Hal Ehwal Bekas Angkatan Tentera (PERHEBAT), MINDEF Sarawak dan Unit Komunikasi Korporat.

Selain itu, agensi ATM terdiri daripada Urusan Gaji Angkatan Tentera (UGAT), Jabatan Arah Rekod dan Pencen (JRP), Badan Kebajikan Angkatan Tentera (BAKAT), Cawangan Sumber Manusia (Darat/Laut/ Udara) dan Sel Kebajikan ATM.

Advertisement