Anda di sini

Kolej Abdillah terus bermaharajalela

Advertisement

SIAP SEDIA: Pemain Sains Kuching (jersi merah, kiri) dan SMK (A) SHOAW melakukan ‘scrum’ pada perlawanan yang berlangsung di Padang Song Kheng Hai semalam.
SHOAW menang 12-10.

KUCHING: Juara bertahan Kolej Abdillah meneruskan penguasaan dalam Kejohanan Ragbi 15-Sebelah 18 Tahun ke bawah MSSM Daerah Kuching 2014 yang berlangsung di Padang Song Kheng Hai semalam.

Pada perlawanan pusingan kedua semalam, Kolej Abdillah membelasah MRSM Kuching 49-0 untuk memastikan slot ke pusingan kedua.

Pada perlawanan hari pertama kelmarin, Kolej Abdillah menewaskan SMK Batu Lintang 65-0 dan seterusnya membenam SMK St Thomas 63-0.

Kolej Abdillah yang dibimbing Zamzy Abdul Rahman akan meneruskan saingan menentang SMK Teknik Sejingkat petang ini.

Turut cemerlang SMK (A) SHOAW yang mencatat dua kemenangan pada perlawanan semalam.

Pada perlawanan pertama, SMK (A) SHOAW menundukkan MRSM Kuching 17-5 sebelum menang tipis 12-10 ke atas Sains Kuching di sebelah petang.

Mereka juga akan mengadakan pertemuan terakhir menentang ST Thomas pada lewat petang ini.

Perlawanan lain yang akan berlangsung hari ini melibatkan pertembungan MRSM Kuching menentang SMK Teknik Sejingkat manakala Sains Kuching akan bertemu dengan SMK ST Thomas.

Dua lagi pasukan Sakura dan SMK Batu Lintang terkeluar dari saingan.

Dalam pada itu, pengendali Kolej Abdillah Zamzy melihat saingan pada edisi kali ini sangat mencabar dan banyak pasukan dilihat berpeluang memburu kejuaraan.

Katanya, meskipun Kolej Abdillah berupakan juara bertahan sejak tiga tahun berturut-turut, ia tidak bermakna mereka boleh terlalu yakin dan memandang rendah keupayaan pasukan lain.

Justeru, Zamzy berharap anak-anak buahnya akan mengekalkan momentum kemenangan pada perlawanan seterusnya jika berhasrat untuk memastikan mahkota kejuaraan kekal milik mereka.

“Saingan pada tahun ini sangat sengit dan banyak pasukan berpotensi merangkul kejuaraan,” menurut Zamzy yang juga Penasihat Teknikal Rugbi MSSM Sarawak.

“Apapun, saya yakin pemain tidak akan menyerah kalah dan membiarkan kejuaraan milik kita jatuh ke tangan pasukan lain.

” Sebanyak sembilan sekolah dari bahagian Kuching menyertai kejohanan tersebut yang berlangsung dari 17-20 Mei di Padang Song Kheng Hai.

Ia bertujuan memilih pemain untuk mewakili Kuching pada kejohanan antara bahagian MSSM yang dijangka berlangsung pada Mei depan.

Advertisement