Anda di sini

Kebakaran hutan paya gambut sukar dipadam

Advertisement

MIRI: Hutan yang kebanyakannya terdiri daripada paya gambut di sini menyukarkan pihak bomba memadamkan api secara sepenuhnya.

Ketua Balai Bomba dan Penyelamat Lopeng Eddy Zulkifli Abdullah berkata, api boleh terus membakar sehingga lima ke enam kaki di bawah tanah tanpa disedari.

“Semua hutan paya gambut mengambil masa untuk dikawal kerana walaupun api di atas sudah dapat dikawal tetapi di bawah tanah ia masih lagi terbakar,” katanya kepada Utusan Borneo semalam.

Menurutnya dari bulan Januari hingga semalam, pihaknya telah mengendalikan sejumlah  69 kes kebakaran hutan paya gambut yang kebanyakannya terjadi di Lopeng, Permyjaya dan Kuala Baram.

Pihaknya kini mempunyai kekuatan 50 pegawai yang dibahagikan kepada tiga syif yang bersedia memantau dan mengawal kebakaran di Miri.

Modus operandi pihaknya juga adalah meronda dengan menggunakan dua enjin pemadam kebakaran setiap pagi di sepanjang jalan Lutong-Kuala Baram dan Kuala Baram-Tudan.

“Dengan menghantar dua enjin dan jika berlaku kebakaran, kita dapat mengawal api secepatnya sebelum ia merebak,” jelasnya.

Ia juga menandakan pihaknya kini  tidak  perlu menantikan laporan daripada orang awam mengenai kebakaran tersebut.

Sementara itu, pihaknya juga menyeru orang awam dan pihak industri untuk tidak melakukan pembakaran terbuka.

“Kita harus bertanggungjawab bersama-sama memelihara kesihatan orang awam yang boleh terjejas akibat jerebu daripada asap pembakaran terbuka,” katanya.

Advertisement