Anda di sini

Ibu dakwa anak OKU mengalami bengkak dan lebam dirotan guru

Advertisement

KLUANG: Seorang ibu mendakwa anaknya yang merupakan orang kurang upaya mengalami bengkak dan lebam selepas dirotan seorang guru sekolahnya kelmarin.

Wanita berumur 32 tahun itu berkata anak lelakinya itu yang merupakan murid tahun lima mendakwa dia dirotan guru lelaki itu selepas dia gagal menjawab soalan mata pelajaran Sains.

Katanya anaknya itu yang bengkok tangan kiri sejak dilahirkan dilihat menangis selepas pulang dari sekolah agama kira-kira jam 4.30 petang kelmarin lalu menceritakan hal itu kepadanya selepas ditanya berkali-kali.

Anaknya yang mengalami bengkak dan lebam di bahagian punggung, paha, belakang badan dan tangan kanan kini berasa trauma untuk ke sekolah, katanya kepada pemberita di rumahnya di Simpang Renggam di sini semalam.

“Saya mengakui anak saya agak lembam dalam pelajaran tetapi perbuatan guru itu yang menghukum murid secara keterlaluan bukan cara terbaik untuk mendidik.

“Pada mulanya saya mahu pendamkan sahaja perbuatan nya kerana tidak mahu memalukan pihak sekolah tetapi saya tidak mahu perbuatan sama berulang,” katanya sambil menambah suaminya membuat laporan di Balai Polis Simpang Renggam kirakira jam 11.30 malam tadi selepas pulang dari kerja.

Bapa murid itu yang bekerja sebagai penyelia di sebuah syarikat di Pasir Gudang berkata dia membawa anak kedua daripada empat beradik itu menjalani pemeriksaan di Hospital Kluang sebelum membuat satu lagi laporan di Ibu Pejabat Polis Daerah Kluang, tengah malam kelmarin.

“Guru tersebut mengaku merotan anak saya dan memohon maaf atas perbuatannya ketika saya dan isteri berjumpanya di sekolah hari ini (semalam).

Saya kini menyerahkan hal ini kepada pihak berkuasa untuk tindakan selanjutnya,” katanya.

Sementara itu, Ketua Polis Daerah Kluang ACP Mohd Roze Shaari ketika dihubungi mengesahkan menerima laporan berkenaan dan siasatan sedang dijalankan terhadap guru itu. — Bernama

Advertisement