Anda di sini

Dua wanita asing dicekup tawar khidmat seks

Advertisement

SANDAKAN: Gara-gara menawarkan perkhidmatan seks dengan bayaran RM130 kepada dua anggota polis yang sedang menjalankan Ops Noda/Pintas, dua wanita dicekup di sebuah penginapan Jalan Dua Pusat Bandar, petang kelmarin.

Ketua Polis Daerah Asisten Komisioner Rowell Marong berkata, pihaknya menahan dua wanita berkenaan yang berumur 19 dan 20 tahun.

“Dalam kejadian kira-kira 2.40 petang, anggota polis yang sedang menjalankan operasi berkenaan ditawarkan perkhidmatan seks (secara lisan) oleh dua wanita terbabit dengan bayaran RM130,” katanya.

Beliau berkata, kedua wanita itu kemudiannya ditahan oleh pihak polis dan pemeriksaan mendapati mereka tidak memiliki sebarang dokumen pengenalan diri.

Polis kemudiannya memeriksa bilik salah seorang wanita yang ditahan itu dan menjumpai wang tunai RM175 dalam laci meja di bilik berkenaan dan sembilan keping kondom yang dijumpai di bahagian dapur.

Rowell berkata, kedua wanita serta barang rampasan kemudiannya dibawa balik ke balai polis untuk siasatan lanjut mengikut Seksyen 372B Kanun Keseksaan.

 

Advertisement