Anda di sini

Wanita dipenjara tiga tahun

Advertisement

Dera anak kandung sehingga mati

TUARAN: Akibat mendera anak kandung berusia dua tahun, seorang wanita warga asing dijatuhkan hukuman penjara tiga tahun oleh Mahkamah Majistret di sini kelmarin.

Majistret Herlina Muse menjatuhkan hukuman itu terhadap Luchille Ariffin, 24, selepas mengaku bersalah mengabaikan kanak-kanak perempuan berkenaan, hingga menyebabkan mengalami kecederaan fizikal.

Tertuduh yang didakwa mengikut Seksyen 31 (1) (a) Akta Kanak-Kanak 2001, melakukan kesalahan itu antara bulan Disember 2013 hingga Februari 2014 di sebuah rumah, Kampung Berungis, Tuaran.

Sekiranya disabitkan bersalah, tertuduh boleh didenda tidak lebih RM20,000 atau penjara tidak melebihi sepuluh tahun, atau kedua-duanya sekali.

Berdasarkan fakta kes,  pada 27 Februari tahun ini semasa pengadu bertugas di bilik gerakan balai polis Tuaran, telah menerima panggilan dari Hospital Tuaran memaklumkan seorang kanak-kanak dalam keadaan tidak sedarkan diri, disyaki menjadi mangsa penderaan.

Mangsa disahkan meninggal dunia jam 12.20 pagi dan dihantar ke Jabatan Forensik Hospital Queen Elizabeth.

Hasil bedah siasat menunjukkan, mangsa mengalami kesan kecederaan lama iaitu patah tulang dan luka lama di paha kanan, cedera di mulut, hidung, lebam di muka, bekas luka di tangan, kaki dan telinga.

Mangsa juga mengalami kecederaan baharu iaitu berlaku pendarahan di otak dan kesan retak di belakang tengkorak. Punca kematian adalah kecederaan kepala.

Siasatan mendapati, tertuduh adalah ibu kepada mangsa telah mengabaikan mangsa sehingga terdedah kepada penderaan dan mengalami kecederaan fizikal.

Terdahulu, Luchille dalam rayuan pertimbangan hukuman berkata dia tidak mempunyai pekerjaan yang tetap dan memohon agar hukumannya diringankan.

Tertuduh juga mengatakan, beliau bertindak demikian kerana tidak tahan dengan tekanan yang dialaminya.

Bagaimanapun, Pegawai Pendakwa Insp Azaman Hamat menegaskan hukuman berat perlu dijatuhkan ke atas tertuduh.

Selain itu, mangsa juga merupakan anak kandung tertuduh dan mempunyai tanggungjawab untuk melindungi mangsa.

Selesai menjalani hukuman itu, mahkamah memerintahkan tertuduh dirujuk ke Jabatan Imigresen untuk tindakan selanjutnya.

Advertisement