Anda di sini

Sultan Pahang Zahir simpati kepada keluarga penumpang dan kru

Advertisement

TURUT BERSIMPATI: Sultan Ahmad bersama ahli keluarga Selamat Omar, 60 (kanan) bapa kepada Mohd Khairul Amri, 29, salah seorang penumpang pesawat MH370 ketika baginda dan Sultanah Kalsom berkenan berangkat melawat ahli keluarga penumpang pesawat MH370 yang hilang sejak 8 Mac lalu di Hotel Everly di Putrajaya, semalam. Turut sama ialah Dr Aseh (tengah). — Gambar Bernama

PUTRAJAYA: Sultan Pahang Sultan Ahmad Shah semalam menzahirkan simpati terhadap anggota keluarga penumpang dan anak kapal pesawat Malaysia Airlines (MAS) MH370 yang masih belum ditemui.

Baginda meminta anggota keluarga terlibat supaya bersabar serta terus berdoa semoga operasi mencari dan menyelamat dipermudahkan Allah SWT.

“Kedatangan saya ke sini, untuk berjumpa keluarga yang ‘kehilangan’ suami, isteri dan anak. Saya telah nyatakan kita sedang mencari di mana kapal terbang berada. Kita tidak tahu sama ada masih di udara atau di mana-mana juga.

“Saya menasihatkan mereka supaya banyak bersabar. Kita mohon kepada Allah SWT untuk menunjukkan (petunjuk) kepada kita.

“Insya-Allah, mudah-mudahan dapat dijumpai,” titah baginda kepada pemberita selepas berada kira-kira sejam bersama anggota keluarga terlibat di sini semalam.

Sultan Pahang turut memohon supaya pelbagai pihak terlibat untuk terus menjaga kebajikan anggota keluarga penumpang MH370 bagi meredakan kesedihan mereka.

Turut berangkat Sultanah Pahang Sultanah Hajah Kalsom dan Tengku Muda Pahang Tengku Abdul Rahman Sultan Ahmad Shah. Hadir sama Presiden Perbadanan Putrajaya Tan Sri Aseh Che Mat. — Bernama

Advertisement