Anda di sini

SFA nekad bangkit dari lamunan

Advertisement

SIBU: Persatuan Bola Sepak Sibu (SFA) akan merombak dan menyusun semula program pembangunan bola sepak berikutan kegagalan pasukan Sibu menyinar sejak tiga tahun lalu.

Presiden SFA, Fadzil Tamam menaruh harapan tinggi terhadap program pembangunan baharu itu mampu meningkatkan dan memberi motivasi kepada pemain menunjukkan kemampuan sebenar mereka.

“Untuk membuktikan kepada pasukan lain di negeri ini kita bukan lagi satu pasukan belasahan, satusatunya cara adalah dengan menyuntik idea-idea baharu bagi menjadikan SFA terus releven,” katanya ditemui di sini kelmarin.

Fadzil yang kembali menerajui SFA setelah dua tahun menyepi berkata, beliau amat terkilan melihat pasukan bola sepak Sibu dibelasah oleh pasukan-pasukan lain setiap kali kejohanan di peringkat negeri.

Kekalahan paling teruk apabila pasukan Sibu dibelasah 7-1 oleh pasukan Limbang pada Piala Isuzu Bawah 18 Tahun.

“Ternyata sangat menyedihkan apabila kita melihat pasukan Sibu tewas dengan jaringan besar,” katanya sambil menambah keadaan sama turut dialami pada kempen Piala Sarawak 2012.

Sebagai permulaan, menurut Fadzil, beliau akan mencari bakat-bakat muda dari Kanowit dan Selangau untuk membentuk satu pasukan muda Sibu.

“Kita tidak mempunyai pilihan selain mencari pemain yang lebih baik dari dua daerah itu,” ujarnya yang akan melakukan sendiri pemilihan pemain nanti.

Beliau percaya ramai pemain berbakat serta berpotensi di luar sana yang boleh dibimbing bagi membantu membentuk sebuah pasukan Sibu yang mantap.

Fadzil berkata, pemain mewakili Sibu buat masa ini tidak mempunyai semangat, komitmen dan keazaman untuk bermain dalam setiap perlawanan yang diharungi.

“Pemain-pemain terbabit tidak mempunyai semangat juang dan cenderung menyerah kalah dengan mudah. Mentaliti seperti itu perlu dibuang jika kita benar-benar ingin menjadi juara.

“Di samping itu, pemainpemain juga mesti mempunyai disiplin tinggi jika mereka benar-benar mahu berjaya atau serius dalam bola sepak,” tegasnya.

Sebelum ini, Fadzil pernah menjadi Presiden SFA dari tahun 1992 hingga 2010 sebelum melepaskan jawatan tersebut atas masalah kesihatan.

Meskipun tidak bersama SFA sejak tiga tahun lalu namun beliau terus mengikuti perkembangan bola sepak di sini.

“Kami mempunyai harapan tinggi bahawa segalagalanya berubah menjadi lebih baik tidak lama lagi dan saya yakin pasukan baharu yang bakal dibentuk mampu menunjukkan keazaman dan kesungguhan untuk terus berjuang,” katanya.

Advertisement