Anda di sini

Polis siasat kru, penumpang pesawat hilang prosedur biasa

Advertisement

KUALA LUMPUR: Siasatan polis ke atas anak kapal dan penumpang pesawat Malaysia yang hilang merupakan prosedur biasa, kata Kementerian Pengangkutan semalam, dan menggesa orang ramai tidak membuat kesimpulan mengenai perkara itu.

Katanya dalam kenyataan, polis menjalankan siasatan ke atas anak kapal dan penumpang pesawat Malaysia Airlines (MAS) penerbangan MH370, yang hilang semasa dalam penerbangan dari Kuala Lumpur ke Beijing pada 8 Mac, dan juga jurutera yang terlibat dengan pesawat itu sebelum berlepas.

“Polis menjalankan pemeriksaan di rumah juruterbang pada Sabtu, 15 Mac. Pegawai menemu bual anggota keluarga juruterbang dan pakar-pakar sedang memeriksa simulator juruterbang berkenaan. Pada 15 Mac, polis turut memeriksa rumah pembantu juruterbang,” kata kenyataan itu.

Katanya operasi mencari dan menyelamat MH370 terus menjadi usaha melibatkan pelbagai negara diketuai Malaysia dan pegawai Malaysia sedang menghubungi negara-negara di sepanjang ‘koridor utara dan selatan’ yang mungkin telah dilalui pesawat itu.

Koridor utara meliputi sempadan Kazakhstan dan Turkmenistan sehingga ke utara Thailand manakala koridor selatan, dari Indonesia hingga selatan Lautan Hindi.

Kenyataan itu berkata kedua-dua koridor utara dan selatan adalah penting dan diberi tumpuan sama rata dalam operasi itu.

“Pegawai Malaysia kini sedang berbincang dengan semua rakan mengenai cara terbaik untuk menggerakkan aset di sepanjang dua koridor itu.

“Pegawai Malaysia juga meminta negara-negara terbabit terus memberikan bantuan dalam usaha pencarian pesawat itu, termasuk data satelit, analisis, keupayaan pencarian di darat, data radar dan aset maritim dan udara,” kata kenyataan itu.

Katanya pegawai Malaysia sedang menghubungi negara-negara di sepanjang koridor utara dan selatan yang mungkin telah dilalui pesawat itu. Negara itu termasuk Kazakhstan, Uzbekistan, Kyrgyzstan, Turkmenistan, Pakistan, Bangladesh, China, Myanmar, Laos, Vietnam, Indonesia, Australia dan Perancis.

Penerbangan MH370, membawa 227 penumpang dan 12 anak kapal, hilang semasa dalam penerbangan dari Kuala Lumpur ke Beijing, kira-kira sejam setelah berlepas dari Lapangan Terbang Antarabangsa KL pada jam 12.41 pagi 8 Mac. Ia sepatutnya mendarat di Beijing pada 6.30 pagi hari sama. — Bernama

Advertisement