Anda di sini

Kerajaan tubuh JITU untuk perangi rasuah

Advertisement

Landasan utama gerakkan semua program transformasi berkaitan tadbir urus, integriti

KUALA LUMPUR: Kerajaan akan menubuhkan Jawatankuasa Integriti dan Tadbir Urus (JITU) dalam usaha memerangi rasuah dan menangani isu-isu berkaitan integriti dalam sektor awam.

Menteri di Jabatan Perdana Menteri Datuk Paul Low Seng Kuan berkata JITU adalah hasil kerjasama dengan pelbagai kementerian dan agensi yang akan bertindak sebagai landasan utama untuk menggerakkan semua program transformasi berkaitan tadbir urus dan integriti.

“Penubuhan JITU telah diluluskan oleh Kabinet minggu lepas. Kami sedang menyiapkan rangka tindakannya untuk dibentangkan kepada Ketua Setiausaha Negara. Sebaik sahaja beliau meluluskannya, kami akan menubuhkan JITU,” katanya.

Beliau ditemuikpemberita selepas Siri Forum Dasar Awam Kementerian:

‘Transformation Conversation Driving Change’ di Institut Tadbiran Awam Negara (INTAN) di sini, semalam.

Turut hadir pengarah INTAN Datuk Mazlan Yusoff dan Presiden Institut Integriti Malaysia (IIM) Datuk Mohd Tap Salleh.

Low berkata JITU, yang terdiri daripada 200 Ketua Pegawai Integriti dari 700 kementerian dan agensi kerajaan, telah menjalani latihan dengan Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia untuk meningkatkan kepakaran dan kefahaman tentang integriti.

Forum sehari anjuran INTAN itu dihadiri kira-kira 200 pegawai kerajaan daripada pelbagai kementerian dan agensi.

Sementara itu, Low berkata juruaudit dalaman di setiap kementerian sekarang mempunyai pilihan untuk melaporkan terus kepada ketua audit negara ataupun kepada menteri.

“Sebelumnya, mereka (juruaudit dalaman) dikehendaki mengemukakan laporan audit kepada ketua setiausaha kementerian. Tetapi dalam kes-kes tertentu sekarang, mereka dibenarkan untuk mengemukakan laporan terus kepada ketua audit negara ataupun kepada menteri untuk mengelakkan kompromi,” kata beliau.

Mengenai forum itu, Low berkata setiap individu mesti memberi sumbangan positif ke arah mewujudkan dan mengekalkan masyarakat yang bebas rasuah.

Beliau juga menggesa penjawat awam supaya lebih komited dalam menjalankan kuasa dan tugas yang diamanahkan kepada mereka secara wajar.

Beliau berkata kerajaan berhasrat untuk mencapai tangga ke-55 dalam Indeks Persepsi Rasuah tahun ini berbanding 50 pada tahun lepas. — Bernama

Advertisement