KOTA KINABALU: Kerajaan negeri sentiasa mengalu-alukan kerjasama badan bukan kerajaan (NGO) selain berharap agar mereka terus aktif dalam menganjurkan program dan aktiviti kemasyarakatan.
Menteri Pembangunan Masyarakat dan Hal Ehwal Pengguna Datuk Jainab Ahmad Ayid berkata kerajaan tidak pernah keberatan mengagih peruntukan kewangan kepada NGO dalam membantu mereka melaksanakan aktiviti berguna untuk rakyat.
“Kita tidak mengetepikan NGO dalam soal bantuan kewangan. Begitupun, kita minta pihak NGO yang mahu memohon peruntukan kerajaan supaya mengemukakan kertas cadangan mahupun laporan mengenai program mereka kepada kementerian berkaitan sebelum kelulusan dibuat,” katanya.
Beliau berkata demikian ketika berucap merasmikan sambutan Ulangtahun Penubuhan Pencegah Batuk Kering Sabah (Sabata) ke-60, di sini malam Ahad lepas.
Dalam ucapannya, Jainab berharap Sabata akan terus memainkan peranan dalam usaha memerangi penyakit Tibi di negeri ini yang semakin meningkat.
Katanya, penyakit Tibi masih serius dan dianggap paling mencabar di negeri ini terutama dari segi kawalan disebabkan kelewatan pemeriksaan ke atas penyakit berkenaan.
Menurut beliau, tahun lepas sahaja Sabah mencatatkan lebih 4,000 kes Tibi yang dilaporkan dan ia adalah penyakit berjangkit tertinggi dilaporkan berbanding penyakit berjangkit lain.
Jainab berkata kelewatan itu mungkin berpunca daripada faktor pesakit itu sendiri atau sistem penjagaan kesihatan.
“Dipercayai bahawa jumlah pesakit yang belum diperiksa dijangkiti Tibi masih tinggi disebabkan oleh pencarian kes Tibi masih rendah. Kadar ingkar rawatan tinggi khusus di kalangan bukan warganegara.
“Keadaan ini menyumbang kepada peningkatan jumlah kes Tibi yang tidak sensitif pada ubat anti rawatan,” katanya.
Sehubungan itu, beliau menegaskan agar aktiviti kawalan Tibi di negeri ini dipertingkatkan dengan penglibatan NGO seperti Sabata.
Dalam pada itu, Presiden Sabata Henry Mogindoi turut mengharapkan agar kerjasama yang terjalin dengan jabatan-jabatan yang terlibat dalam mengawal penularan dan peningkatan kes Tibi di Sabah dapat dikekalkan bagi menangani masalah berkenaan.
Majlis itu dihadiri tetamu kehormat Yang Dipertua Negeri Sabah Tun Juhar Mahiruddin dan isteri Toh Puan Norlidah RM Jasni.