Anda di sini

Samarahan mampu jadi gedung lahir modal insan berkualiti

Advertisement

KOTA SAMARAHAN: Bahagian Samarahan yang telah banyak mengalami transformasi pembangunan daripada sebuah kawasan terpencil suatu ketika dahulu dilihat mampu menjadi gedung melahirkan modal insan berkualiti.

Menteri Kerja Raya Datuk Fadillah Yusof berkata, pembangunan yang dibawa oleh kerajaan di bawah pimpinan Barisan Nasional (BN) telah banyak membantu meningkatkan taraf hidup rakyat di kawasan itu termasuk peluang pendidikan.

“Kita lihat Samarahan daripada sebuah kampung kini menjadi sebuah Kota Ilmu yang mempunyai pelbagai kemudahan khususnya dalam pendidikan pelbagai peringkat iaitu dari rendah hingga ke pengajian tinggi,” katanya.

Beliau berkata demikian ketika berucap pada majlis penangguhan Program Armada Pemuda PBB bertema ‘Nang Kamboh’ di Dewan Suarah Kota Samarahan di sini malam kelmarin.

Justeru, Fadillah menggesa golongan belia di situ memanfaatkan peluang yang disediakan dalam usaha melahirkan generasi muda yang berpengetahuan dan berkualiti seiring dengan kemajuan yang dicapai di kawasan itu.

“Di sini kita lihat sudah mempunyai universiti, maktab, institut kemahiran, sekolah menengah dan rendah yang perlu dimanfaatkan untuk melahirkan modal insan yang berkualiti untuk pembangunan negara dan negeri Sarawak khasnya,” tambahnya.

Pada masa masa, Fadillah berharap golongan belia terus bersatu dan mengekalkan perpaduan bagi memastikan setiap pembangunan yang dibawa oleh kerajaan dapat dilaksanakan dengan lancar dan berkesan.

Menyentuh mengenai kesesakan trafik yang berlaku di kawasan Samarahan terutama pada waktu kemuncak, Fadillah berkata kementerian akan berusaha mencari jalan penyelesaian untuk mengurangkan masalah itu.

“Kita tahu semakin hari rakyat semakin ramai tinggal di sini sehingga menyebabkan kesesakan lalu lintas terutama pada waktu kemuncak, jadi kita akan berusaha mencari jalan penyelesaian bagi memudahkan rakyat di sini,” ujarnya.

Hadir sama Ahli Dewan Undangan Negeri Sadong Jaya Aidel Lariwoo, pengerusi penganjur Hamzah Brahim dan tetamu kehormat lain.

Advertisement