Anda di sini

Persatuan Taman Alam Semula Jadi bincang langkah pelihara Kem Piasau

Advertisement

UNTUK ALBUM: Sebastian (berdiri barisan depan, sepuluh kiri) serta exco pada program ‘Hornbill Walk’ selepas AGM kedua di Piasau Kem kelmarin.

MIRI: Persatuan Taman Alam Semula Jadi Kem Piasau Miri petang kelmarin mengadakan Mesyuarat Agung Tahunan (AGM) Kedua bagi membincangkan langkah memelihara kawasan itu daripada ancaman pembangunan.

Mesyuarat berkenaan diadakan di Kem Piasau berdekatan kawasan letak kereta bangunan bekas Sekolah Antarabangsa Tenby iaitu tempat permulaan Hornbill Walk diadakan sejak Januari lalu.

Turut diadakan selepas itu ialah Hornbill Walk kali ke-10 yang disertai lebih 100 ahli dan orang awam daripada pertubuhan bukan kerajaan (NGO) dan ketua komuniti.

Pengerusi Persatuan Datuk Sebastian Ting berterima kasih kepada semua pihak termasuk kerajaan dan orang awam yang berterusan memberi kerjasama dan membantu menjayakan pelbagai aktiviti anjuran persatuan.

“Hornbill Walk bertujuan meningkatkan kesedaran dan sokongan agar kerajaan, Petronas dan Sarawak Shell Berhad dapat mewartakan Kem Piasau sebagai taman semula jadi untuk tujuan pemuliharaan dan perlindungan bagi generasi akan datang.

“Kita juga menghargai sokongan pihak berkuasa berkaitan dalam memberkas pihak tidak bertanggungjawab menyebabkan kematian burung enggang ‘Faridah’ pada 23 September tahun lalu.

“Kita juga berterima kasih kepada pihak berkaitan kerana mempercepat proses pendaftaran persatuan pada 23 Oktober lalu,” kata Sebastian.

Beberapa aktiviti diadakan sepanjang tahun ini antaranya Hornbill Walk bulanan, pertandingan mereka logo, pameran, ceramah dan kutipan amal termasuk Fun Walk di Kem Piasau, jualan penanda buku untuk membantu Pusat Sunflower Miri, promosi taman dan makan malam penghujung tahun.

Advertisement